Satu lagi video yang memaparkan seorang lelaki yang tidak dikenali berindak mencabut dan merosakkan beberapa bendera BN. Klip selama 15 saat itu menjadi tular di media sosial.

Menurut portal Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC), Pemuda Umno Bukit Bintang memfailkan laporan polis mengenai perkara itu di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, malam semalam.

Adalah dipercayai insiden itu berlaku di Jalan Sultan Abdul Samad dan Jalan Tun Sambanthan 4 di Kuala Lumpur.

Ketua Pemuda Umno Bukit Bintang Jefree Zaid Affendi Dan Yunan memberi amaran bahawa perbuatan khianat dan provokasi itu boleh menimbulkan suasana tegang.

“Saya berharap perkara ini tidak berulang dan kita dapat bertanding secara sihat,” katanya.

Isnin lalu, seorang lelaki lain juga dirakamkan mencabut dan mencampakkan beberapa batang bendera BN di sepanjang jalan yang dipercayai di Jalan Burhanuddin Helmi di Taman Tun Dr Ismail. Video itu juga kemudiannya menjadi tular di media sosial.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata tiga laporan difailkan mengenai perkara itu dan memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan kerosakan.