Ahli-ahli Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana kegiatan mereka sudah sampai ke tahap "serius", dakwa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Kalau tidak serius, kerajaan tidak akan ambil tindakan," katanya, yang juga Timbalan Perdana Menteri, seperti dipetik laporan agensi berita Bernama hari ini.

Dalam operasi sejak Khamis, 10 orang ditangkap, termasuk anak Menteri Besar Kelantan, Nik Adli Nik Abdul Aziz, ahli jawatankuasa Pemuda PAS Johor Noor Ashid Sakip dan Ketua Pemuda PAS kawasan Larut, Perak Ahmad Tajuddin Abu Bakar.

Tujuh yang lain, Solehan Abdul Ghaffar, Alias Ngah (kedua-duanya ditangkap di Kuala Terengganu), Zainun Ismail (Baling, Kedah), Abu Bakar Che Doi (Kuala Muda, Kedah), Asfawani Abdullah (Kuala Ketil, Kedah), Ahmad Pozi Darman (Hulu Tiram, Johor) dan Mohd Lothfi Ariffin (Kupang, Kedah).

Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai, semasa mengumumkan penangkapan lapan anggota KMM dua hari lalu, berkata mereka ditahan kerana "pernah menjalani latihan jihad atau menerima latihan ketenteraan di Afghanistan."

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengaku anaknya pernah mengunjungi Afghanistan.

Menurut Nik Abdul Aziz, anak lelakinya itu mengunjungi negara itu semasa sedang belajar di Pakistan.

Menurutnya lagi, seperti laporan Bernama , kunjungan Nik Adli itu bagi menyokong orang Islam di Afghanistan yang menentang pencerobohan tentera Russia dan menganggap tindakan anaknya itu "perkara biasa" kerana kewajipan umat Islam membantu satu sama lain.

Bagaimanapun, Nik Abdul Aziz berkata beliau tidak mengetahui mengenai dakwaan bahawa anaknya terlibat dengan KMM yang dianggap "militan."

Sementara itu, Parti Rakyat Malaysia mengecam operasi tangkapan terbaru itu selepas 10 orang pemimpin Keadilan dan aktivis reformasi ditahan sepanjang April.

"Berdasarkan kenyataan Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara, kami bimbang polis dan pemerintah sedang berkonspirasi melaksanakan operasi untuk menahan lebih ramai lagi selepas ini, tanpa sebarang bukti, dengan tujuan melumpuhkan gerakan pembangkang yang sah," kata Presiden PRM Dr Syed Husin Ali dalam kenyataannya kepada malaysiakini .

Enam daripada 10 aktivis reformasi itu kini ditahan selama dua tahun di kem Kamunting, Perak mulai 2 Jun. Mereka termasuklah Naib Presiden Tian Chua, Ketua Pemuda Mohamad Ezam Mohd Nor, Dr Badrul Amin Bahron dan penulis malaysiakini Hishamuddin Rais.