Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Permuafakatan Antara NGO-NGO (Mapan) kini menerajui usaha pengguna memulau dua produk keluaran Thailand sebagai tindakan balas terhadap apa yang didakwa sebagai kekejaman pihak berkuasa negara itu terhadap umat Islam di selatan Thailand.

Dalam satu kenyataan hari ini, Penyelaras Projek PPIM Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, boikot itu bukan tindakan sabotaj ekonomi.

Sebaliknya, kata beliau, ia bertujuan menghantar mesej kepada kerajaan Thailand supaya lebih berhati-hati menangani isu kemanusiaan di selatan negara itu.

"Dengan menggunakan kuasa kepenggunaan, PPIM, GPMS dan Mapan yakin boikot terpilih ini dengan memulau dua barangan Thailand iaitu Colgate dan Ayam CP LIMA Bintang akan menghantar mesej dengan lebih jelas, dan berupaya mendesak Thaksin Shinawatra (Perdana Menteri Thailand) supaya tidak mengambil jalan mudah dan terus bertindak kejam terhadap masyarakat Islam di selatan Thailand.

"Hanya dengan menggunakan kuasa kepenggunaan, masyarakat pengguna dapat menunjukkan kemarahan dan rasa kesal terhadap cara Thaksin menangani masalah di selatan Thailand," katanya.

Noor Nirwandy berkata, tindakan boikot itu akan berterusan dan akan disebarkan ke seluruh dunia dan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam melalui jaringan kerjasama badan-badan antarabangsa lain.

Menurut laporan Bernama , lebih daripada 1,000 penduduk tempatan di Selatan Thailand dilaporkan terbunuh sejak keganasan meletus di wilayah itu awal tahun lalu.

Bulan lalu, 131 warga Thai beragama Islam melarikan diri ke Kelantan dengan alasan mengelak diri daripada keganasan di wilayah selatan Thailand.