Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafidah tak layan penjelasan pihak 'tiada dalam mesyuarat'
Diterbitkan:  Apr 11, 2018 11:52 AM
Dikemaskini: 3:54 AM

Tan Sri Rafidah Aziz mengambil pendekatan enggan melayan penjelasan Kementerian Pertahanan berkaitan dakwaan pemberian 40,000 hektar tentera kepada sebuah syarikat swasta milik tiga individu.

Lebih-lebih lagi, kata bekas menteri itu, ia hanya dibuat oleh sebuah unit dalam badan itu, iaitu Unit Komunikasi Korporat (UKK).

“Maaflah, surat terbuka saya dialamatkan kepada Datuk Seri PM, dan bukan menteri pertahanan.

“Apatah lagi sebuah unit, iaitu UKK Mindef (Kementerian Pertahanan),” kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

UKK semalam menafikan dakwaan Rafidah bahawa terdapat sebuah syarikat yang terdiri daripada tiga individu mengawal pelaksanaan projek Kementerian Pertahanan itu mengikut kaedah 'land swapping'.

Kementerian itu berkata dakwaan Rafidah bahawa keseluruhan tanah Persekutuan yang diguna pakai Kementerian Pertahanan dipindah milik kepada syarikat dimiliki tiga individu itu juga tidak benar.

UKK menjelaskan lantikan syarikat bagi melaksanakan projek pembangunan bawah Kementerian Pertahanan termasuk kaedah penswastaan secara 'land swap' mengikut prosedur Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein kelmarin menolak dakwaan Rafidah yang menuduh Datuk Seri Najib Razak menswastakan tanah Angkatan Tentera Malaysia sewaktu menjawat portfolio kementerian pertahanan itu.

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini, Rafidah berkata UKK itu tidak perlu menjelaskan proses dalaman kepadanya.

Sebaliknya perkara penting yang perlu dijelaskan, katanya lagi, adakah benar Najib membentangkan kertas kabinet pada 2007 berkaitan penswastaan dengan pajakan 40 tahun.

“Mana dia kertas kabinet yang telah meluluskan pengswastaan itu? Sila tunjukkan kertas kabinet itu, untuk rakyat tahu dengan jelas. Kertas kabinet itu bukti,” tuntutnya sekali lagi.

Beliau juga mengingatkan UKK tidak hadir dalam program itu dan membayangkan tidak mengetahui keseluruhan isu itu.

“Mereka tidak hadir dalam mesyuarat kabinet itu. Saya hadir dalam mesyuarat itu,” katanya.

Lihat Komen
ADS