Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Mungkin bonus lebih 3 bulan jika HARAPAN kekal di Selangor'

Menteri besar sementara Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi bayangan akan memberikan bonus lebih daripada tiga bulan kepada penjawat awam negeri itu jika Pakatan Harapan (HARAPAN) kekal menang di situ.

“Bukanlah banyak sangat tiga bulan (bonus) itu, tak banyak sangat pun.

“Tapi itu adil dan lepas ini mungkin lebih tiga bulan (bonus akan diberikan) atas prinsip adil dan berdasarkan merit serta prestasi (penjawat awam),” kata Azmin.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.

November tahun lalu kerajaan Selangor menghadiahkan khabar gembira kepada penjawat awam di negeri itu dengan mengumumkan pemberian insentif khas kewangan atau bonus tiga bulan ketika membentangkan Bajet Selangor 2018.

Azmin ketika mengumumkan berita gembira itu berkata, bonus berkenaan sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada jasa dan komitmen penjawat awam yang menjalankan amanah sehingga membantu kejayaan pembangunan ekonomi Selangor.

Mengulas lanjut Azmin yang juga timbalan presiden PKR turut menyindir kerajaan persekutuan yang katanya hanya akan memberi pelbagai janji kepada penjawat awam seminggu sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) diadakan.

“Saya tak tabur janji menjelang PRU. Saya juga tak himpunkan pegawai-pegawai kerajaan untuk tabur pelbagai janji dan insentif.

“Program ini diatur lebih awal lagi dan saya juga tidak adakan pemukiman macam ada pihak kata tapi gunakan pentas itu untuk pengaruhi pemikiran anggota perkhidmatan awam,” katanya.

Tegas anggota parlimen sementara Gombak itu, ia jelas sepatutnya tidak berlaku.

“Sepatutnya ini tak berlaku. Ia adalah satu penghinaan kepada kecerdasan sivil kita.

“Sebaliknya saya dari awal secara tuntas telah menzahirkan. Saya beri (bonus) tahun lepas bukan seminggu sebelum penamaan calon.

“Dijanjikan naik pangkat gred. Tetapi kita harus tunjukkan contoh teladan yang baik,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 4 April lalu mengumumkan kenaikan satu gaji tahunan untuk 1.6 juta penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai nanti.

Beliau mengumumkan perkara itu pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-16 (Mappa XVI) yang dihadiri kira-kira 10,000 anggota perkhidmatan awam.

Najib yang juga menteri kewangan, turut mengumumkan beberapa insentif untuk penjawat awam dan golongan pesara.

Lihat Komen
ADS