Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak meluahkan rasa puas hati terhadap sambutan rakyat Kelantan sempena lawatannya ke negeri itu, hari ini.

Berucap di hadapan kira-kira 2,000 penyokong BN beliau menyatakan keterujaan melihat sambutan ditunjukkan.

"Hari ini ambo (saya) rasa teruja sebab pertama sambutan yang hebat, kedua ucapan hebat (anggota parlimen Ketereh) Tan Sri Annuar Musa.

"Ketiga kerana lagu yang hebat, kalau macam ini ambo boleh tidur jenero (lena) malam ini sebab seluruh bumi Ketereh ini kita menang 4-0, insyaAllah," katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Parlimen Ketereh, di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, Kota Bharu.

Hadir sama Pengerusi BN negeri, Datuk Mustapa Mohamed, Annuar yang juga adalah ketua penerangan Umno serta barisan kepimpinan BN Kelantan pelbagai peringkat.

Perdana menteri berkata, beliau begitu sayang kepada rakyat Kelantan khususnya orang Ketereh dan sekali gus tidak akan mengecewakan mereka.

"Ambo sayang Terey (Ketereh) ini, Tan Sri Annuar kata dia royak (bagitahu) saja, dia tak minta, tapi kalau ambo tak luluskan sesuatu rasa tak kena.

"Sebagai seorang pemimpin kita kena lakukan yang terbaik untuk rakyat, kita kena buat sesuatu supaya hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini.

"InsyaAllah di bawah BN kita akan menjulang negara ini. Kita tak nak ke terbelakang," katanya.

Susulan itu, beliau turut mengumumkan beberapa projek pembangunan untuk rakyat khususnya di Ketereh.

Antaranya, Kelantan bakal diisi dengan sebuah Universiti al-Quran, pembangunan sebuah stadium dan sebuah jambatan di Kampung Serendah, Ketereh.

Najib berkata, beliau sudah memberi yang terbaik kepada Kelantan sepanjang menjadi perdana menteri selama sembilan tahun berbanding prestasi bekas bosnya, Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun menjawat jawatan itu sebelum ini.

Dr Mahathir yang kini mengetuai pembangkang katanya, sudah di usia senja untuk kembali menjadi perdana menteri.

"Kita nak pergi jauh lagi tuan-tuan bukan nak pergi setahun dua. Kita nak bawa Malaysias jadi negara yangg hebat antara 20 yang terhebat dunia.

"Sebab itulah kita perlu memikirkan lagi (pilih siapa), ambo tak perlu nak bersyarah panjang," katanya.