Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lagi janji cuti umum HARAPAN jika menang PRU14
Diterbitkan:  Apr 11, 2018 2:05 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Pakatan Harapan Perak berjanji mengisytiharkan cuti negeri dua hari pada 10 dan 11 Mei sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya umum ke-14.

Ketua Pengerusi HARAPAN Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata perkara ini telah dipersetujui semua parti komponen HARAPAN di negeri itu.

"HARAPAN Perak menggesa semua rakyat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dan mengundi pada 9 Mei," kata Faizal dalam satu kenyataan ringkas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan Rabu, 9 Mei sebagai tarikh mengundi.

Pengarah strategi AMANAH, Dzulkefly Ahmad mencadangkan cuti umum dua hari jika HARAPAN membentuk kerajaan persekutuan.

Hari ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, masing-masing berkata akan meneliti hal ehwal undang-undang negeri terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada akan memberikan cuti peristiwa pada hari berkenaan.

Selain itu, petisyen atas talian bagi memohon Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V mengisytiharkan hari mengundi pada Rabu, 9 Mei depan sebagai cuti umum sedang berjalan.

Setakat laporan ini ditulis, seramai 112,000 orang telah berbuat demikian, kira-kira 24 jam selepas petisyen itu dilancarkan pada jam 4 petang semalam menggunakan platform Change.org.

Lihat Komen
ADS