Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Penetapan hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei ini yang juga merupakan hari bekerja bukanlah suatu perkara luar biasa sehingga Boleh mencetuskan permasalahan kerana ia pernah berlaku sebelum ini.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata tarikh tersebut sudah pasti telah dipertimbangkan sebaiknya sebelum ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan hari pengundian pada hari bekerja pernah berlaku pada PRU 1995 dan 1999.

Shamsul Anuar berkata penetapan tarikh mengundi pada hari bekerja tidak sepatutnya dijadikan isu kerana sebelum ini ia pernah dilakukan ketika negara di bawah pemerintahan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Setiap perkara yang dibuat kerajaan atau agensi (kerajaan) akan diputar belit (oleh pihak pembangkang) dan menimbulkan persepsi yang tidak baik kepada rakyat.

"Sebenarnya mengundi pada hari Rabu (hari berkerja) bukanlah perkara baharu..ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dahulu beberapa kali pilihan raya dibuat pada hari berkerja," katanya.

Shamsul Anuar yang juga Pengerusi Biro Kebajikan Umno (BIKUM) berkata, isu berkaitan tarikh pengundian dilihat seperti sengaja diperbesarkan oleh pihak pembangkang yang disifatkan mahu menimbulkan kemarahan rakyat.

Katanya, beliau percaya Barisan Nasional (BN) mempunyai strategi tersendiri dalam menghadapi serangan pihak pembangkang yang sudah boleh dijangka terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan diadakan 9 Mei nanti.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata BIKUM sentiasa menggerakkan kerja bantuan secara konsisten dan berterusan sejak dahulu lagi dan bukan hanya dilakukan menjelang PRU semata-mata.

Beliau berkata BIKUM memberi jaminan bantuan kepada rakyat akan diteruskan malah akan dipergiatkan dari semasa ke semasa biarpun selepas PRU diadakan bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

"Kita akan lakukan secara konsisten kerana ia tanggungjawab kita dan sebagai tanda terima kasih parti kepada rakyat yang sentiasa memberi kepercayaan kepada Umno," katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS