Most Read
Most Commented
Read more like this

pendapat

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempunyai alasan sendiri untuk melaksanakan sistem meritokrasi bagi kemasukan pelajar Bumiputera ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Majlis Tertinggi Umno telah membincangkan isu itu pada 27 Julai. Mesyuarat kabinet pada 1 Ogos telah menyokong sepenuhnya cadangan melaksanakan sistem meritokrasi. Dr Mahathir difahamkan akan memberi taklimat khas kepada pemimpin Umno mengenai isu itu tidak lama lagi.

Baik buruk sistem meritokrasi ini boleh dibahaskan. Tetapi satu hakikat tidak boleh diketepikan begitu sahaja bahawa ada kemungkinaan Dr Mahathir, Umno malah kabinet telah melanggar Perkara 153 (1) dan Perkara 153 (2) Perlembagaan Persekutuan apabila mahu mengubah sistem kuota kepada sistem meritokrasi.

Perkara 153 (1) berkaitan kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera. Kedudukan istimewa ini dijelaskan lebih lanjut dalam Perkara 153 (2) termasuk biasiswa, bantuan dan keistimewaan lain pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas yang diadakan oleh kerajaan Persekutuan. Sistem kuota kemasukan pelajar Bumiputera ke universiti termasuk kedudukan istimewa.

Jika sistem meritokrasi mahu dilaksanakan mulai semester akan datang, kerajaan tidak boleh berbuat demikian dengan begitu sahaja. Prosedur undang-undang mesti betul. Jika tidak, maka pelaksanaan sistem meritokrasi itu mungkin dianggap tidak sah atau batal.

Kedudukan istimewa tidak terjamin

Kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera termasuklah kuota dalam hal kemasukan pelajar ke universiti. Kalau sistem ini tidak memberi kebaikan kepada pelajar-pelajar Melayu dan Bumiputera seperti yang didakwa Dr Mahathir, maka peruntukan perlembagaan itu perlu dipinda.

Mahathir atau kerajaan tidak boleh mengubah begitu sahaja dan secara mengejut Perkara 153 (1) dan Perkara 153 (2). Perkara 153 bukan perkara kecil. Ia amat sensitif dan bersifat kontroversi.

Ia membabitkan kepentingan masyarakat Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak secara umum. Ia bukan hak Umno dan Dr Mahathir sahaja untuk menentukannya. Majlis Tertinggi Umno atau kabinet tidak ada kuasa meminda Perlembagaan Persekutuan.

Hal ini adalah bidang kuasa parlimen. Untuk membolehkan sistem meritokrasi itu dilaksanakan, pindaan Perkara 153 itu mesti mendapat sokongan majoriti dua pertiga atau lebih di Dewan Rakyat.

Masyarakat Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak mungkin belum dikejutkan langkah-langkah yang sedang diambil oleh Mahathir, Umno dan kerajaan Barisan Nasional sekarang.

Jika Mahathir dengan mudah mengubah sistem kuota kepada meritokrasi, tidak ada jaminan lagi kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera dalam Perlembagaan Persekutuan.


HASSAN KARIM adalah Ketua Penerangan, Parti Rakyat Malaysia (PRM)


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS