See-To: Dakwaan Rafidah dikongsi lebih awal di Whatsapp
Timbalan Pengarah Jabatan Komunikasi Strategik BN, Eric See-To mendakwa bahawa beliau menerima mesej Whatsapp sebulan lebih awal berhubung tuduhan ‘penswastaan’ tanah milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau berkata tuduhan itu serupa dengan apa yang dibangkitkan oleh bekas menteri Umno, Tan Sri Rafidah Aziz.
"Apabila Rafidah menghantar dakwaan tentang (tanah) ATM menggunakan namanya sendiri, saya semacam mengenalinya kerana pernah terbaca mengenainya sebelum ini.
"Mengimbas kembali, saya dapati bahawa tuduhan pernah dikongsi di Whatsapp tanpa sebarang nama lebih satu bulan sebelum ini.
"Tuduhan itu sangat tidak masuk akal dan melampau, saya segera menolaknya secara terang-terangan," katanya dalam satu kenyataan media petang ini.
See-To juga berkata bahawa Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut berada dalam kabinet pada tahun 2007 dan sehingga 2015.
"Jadi, mereka sepatutnya orang pertama yang mengongsikannya (Datuk Seri Najib Razak membentangkan kertas kabinet untuk menswastakan 40,000 hektar tanah kementerian pertahanan kepada syarikat milik tiga individu) dengan (Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr) Mahathir (Mohamad).
"Ini pastinya isu besar tiga tahun sebelum Rafidah mendedahkannya. Lagipun, butiran khusus, seperti nama syarikat atau siapa tiga individu yang tanah milik kementerian pertahanan itu dipindahkan.
"Lebih-lebih lagi, jika ini benar, maka ramai kakitangan kementerian pertahanan sudah lama akan mendedahkannya," katanya.
See-To berkata beliau menerima dakwaan yang sama tepat pada 10 Mac melalui Whatsapp, sebulan sebelum Rafidah membuat tuduhan berkenaan dalam surat terbuka kepada Najib.
"Saya menerima mesej yang sama ketika itu daripada sekurang-kurangnya tiga orang yang berbeza.
"Jika dia mahu saya menunjukkan bukti, saya boleh berjumpa dengannya dan menunjukkan telefon saya," katanya sambil membekalkan paparan skrin mesej Whatsapp yang diterimanya.

