Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menawarkan diskaun besar kepada pengguna semasa program Jualan Sentuhan Rakyat di Putrajaya hari ini.

Dengan menggunakan pembesar suara, Hamzah "mengganggu" jualan murah tersebut dengan menurunkan lagi harga ayam dari RM7 hingga RM5 dengan had empat ayam setiap orang.

"Menteri jual ia lebih murah lagi. Yang kau orang rebut-rebut buat apa, tunggulah menteri dulu. Oleh kerana ni baik-baik belaka, oleh kerana baik kita jual RM5 seekor," kata Hamzah kepada orang ramai.

Orang ramai kemudian berebut-rebut mendapatkan beras apabila beliau mengumumkan dua kampit beras 10kg dijual hanya RM10, atau RM5 setiap beg.

Harga runcit biasa bagi beras jenama 'Faiza Emas' adalah RM26 setiap 10kg.

Barang-barang lain yang diturunkan harga ketika beliau beralih dari satu gerai ke gerai lain termasuk daging lembu dari RM20 sekilogram hingga RM15 serta kentang, bawang, telur, ikan, Milo dan susu pekat.

Setiap kali beliau mengumumkan diskaun, anggota parlimen sementara Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Setiausaha Kerajaan Tan Sri Ali Hamsa dan Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Badrudin Amiruldin akan membantu membungkus barang-barang kepada pembeli dan menjadi 'juruwang'.

"Lelong, lelong," teriak Tengku Adnan sambil mengulang sebut harga barang yang baru diberikan diskaun.

Ketika ditemui wartawan kemudian, Tengku Adnan berkata program berkenaan bertujuan untuk meringankan beban rakyat.

"Kita bersyukurlah kerana kerajaan hari ni selalu bantu meringankan beban warganya. Kami mahu rakyat happy. Dont worry be happy, kamu ada BN," katanya.

Pemborong yang mendirikan gerai mereka di tempat letak kereta kosong sebelum ketibaan Hamzah memberitahu Malaysiakini, mereka terkejut dengan diskaun ditawarkan.

"Terkejut, pasal kita dah jual kira murah lepas tu menteri subsidise (beri subsidi) lagi jadi RM5," kata Amnah Ibrahim, pegawai perhubungan awam di syarikat Leong Hup International kepada Malaysiakini.

[Baca berita penuh]