Salahuddin akan cabar Nur Jazlan sekali lagi
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub sekali lagi akan menentang timbalan menteri sementara, Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed, di parlimen Pulai pada pilihan raya umum akan datang.
AMANAH hari ini mengesahkan pencalonan Salahuddin di kerusi berkenaan yang dimenangi Nur Jazlan selama tiga penggal.
Pada pilihan raya umum lepas, Salahuddin, yang bertanding di atas tiket PAS, secara dramatik berjaya mengurangkan majoriti yang diperoleh Nur Jazlan namun masih tidak dapat mengalahkannya.
Nur Jazlan mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,226 undi.
Beliau memenangi majoriti 20,449 undi pada pilihan raya umum 2008.
Bagaimanapun, PRU kali ini dijangka menjadi tugas berat buat Salahuddin kerana beliau bukan sahaja perlu menewaskan Nur Jazlan dari BN, tetapi juga calon daripada bekas partinya PAS.
Pada pengumuman di Batu Pahat hari ini, pesuruhjaya AMANAH Johor Aminolhuda Hassan mengumumkan Salahuddin juga akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram (dahulunya Sungai Abong).
PAS menawan kerusi DUN berkenaan pada pilihan raya umum lepas dengan majoriti 3,813 undi. Kerusi itu terletak di bawah Parlimen Bakri, yang dimenangi DAP.

