Annuar puji Rosmah istiqamah di samping suami
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa hari ini memuji isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang disifatkan begitu setia mendampingi Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya, walaupun diejek dan dihina, Rosmah istiqamah menjalankan tugas di samping suami.
"Hari ini Datuk Seri Najib dilayan dengan cara yang tidak sepatutnya.
"Datin Seri Rosmah diejek dihina, tetapi kita berbangga kerana beliau istiqamah jalankan tugas, setia di samping suami," katanya ketika berucap di Majlis ramah Mesra Bersama Rakyat Parlimen Ketereh di Kota Bharu, petang tadi.
Penyandang anggota Parlimen Ketereh itu berkata, beliau sendiri banyak mempertahankan Najib dalam pelbagai isu sebelum ini.
Katanya, sudah menjadi tradisi Umno untuk setia kepada pucuk pimpinan dan berdiri teguh di samping ketua termasuk ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.
"Kita lalu pelbagai krisis, kita pertahan Dr Mahathir, kita wala dan setia bersama Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi)," katanya.
"Dengar dari Najib, Dr M dan Muhyiddin'
Tambah Annuar, dalam isu dakwaan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akuan peribadi perdana menteri, beliau bersama anggota majlis tertinggi Umno dan menteri yang lain bertemu Najib bagi meminta penjelasan dari "hati ke hati".
Malah beliau juga mendengar hujah daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai dakwaan berkenaan sebelum bekas timbalan perdana menteri itu disingkirkan dari kabinet.
"Dalam parlimen apabila diasak pelbagai perkara pun begitulah, juga dalam majlis tertinggi sayalah berdepan secara langsung dengan Tan Sri Muhyiddin (Yassin) apabila beliau tidak berkata benar dan cuba belot kepada Datuk Seri Najib.
"Maka di saat itulah saya sendiri dengar daripada Najib, Dr Mahathir dan Muhyiddin.
"Saya membuat rumusan bahawasanya perdana menteri berada di pihak yang benar sebagai pemimpin yang menjalankan tugas negara," katanya.

