2 maut kenderaan bawa bahan letupan kuari terbabas
Dua lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda membawa muatan bahan letupan kuari yang mereka naiki terbabas dan melanggar tebing lebuh raya di Kilometer 149.7, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), dekat Maran, semalam.
Dalam kemalangan jam 7 pagi itu, mangsa, Mohamad Azmil Jamil, 35, dari Banting dan rakannya, K. Gunaseelan, 34, dari Klang, Selangor, yang menaiki Toyota Hilux, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Maran, Shamsul Affendy, berkata ketika kejadian, mangsa dipercayai pekerja kuari, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan dengan membawa dua kotak Magnagel iaitu sejenis bahan letupan digunakan bagi kerja-kerja letupan batu kuari
" Sebaik tiba di tempat kejadian, didapati seorang daripada mangsa tersepit di bawah kenderaan, manakala seorang lagi tercampak keluar dari kenderaan. Kami mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata salah satu daripada kotak bahan letupan itu telah pecah dan Unit Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Gebeng dipanggil untuk membersihkan sisa bahan letupan itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Supt Norzamri Abdul Rahman berkata siasatan awal mendapati Mohamad Azmi yang memandu kenderaan itu dipercayai mengantuk hingga menyebabkannya hilang kawalan sebelum terbabas.
Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat.
- Bernama

