Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Edge: Hari mengundi pada Rabu, majikan hilang RM600 juta
Diterbitkan:  Apr 12, 2018 12:58 PM
Dikemaskini: 5:05 AM

Majikan dijangka kehilangan sekurang-kurangnya RM600 juta susulan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada Rabu, 9 Mei ini, lapor akhbar kewangan The Edge.

Menurut Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan, jumlah itu hanya kos gaji bagi menampung cuti umum pada 9 Mei ini untuk membolehkan pengundi membuang undi.

"Kerugian (tambahan) pengeluaran sangat besar," katanya yang dipetik akhbar itu.

Walau bagaimanapun, beliau menjangkakan majikan mampu menyusun semula jadual kerja mereka memandangkan notis selama sebulan itu.

Laporan itu juga memetik Naib Presiden, Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Jacob Lee sebagai berkata pilihan raya akan menjejaskan operasi kilang-kilang.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, anggota persekutuan itu akan mengutamakan hak pekerja mereka untuk menjalankan kewajipan mereka sebagai pengundi.

"FMM menggalakkan ahli-ahlinya untuk menyokong proses pilihan raya dengan mematuhi peraturan pemberian masa kepada pekerja untuk keluar mengundi,” katanya.

Sementara itu, seorang perunding tempatan memberitahu The Edge bahawa cuti umum selama sehari pada hari pengundian adalah tidak mencukupi, kerana ada yang terpaksa pulang ke kampung halaman untuk mengundi.

"Malah dengan cuti pelepasan pada hari pengundian pada Rabu, ada pekerja yang bertanya sama ada mereka boleh bercuti pada Selasa kerana perlu pulang ke kampung halaman mereka," kata pengarah yang tidak dinamakan itu.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma), Denis Low juga menyuarakan sentimen sama dengan berkata tarikh pengundian pada pertengahan minggu akan menyusahkan mereka yang tinggal berjauhan untuk mengundi.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS