Paling Popular
Terkini

Kepimpinan terbaru Otai Reformis 1998 hari ini menyatakan sokongan mereka terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi barunya, Khairul Anuar Othman berkata sokongan terhadap Dr Mahathir diberikan kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menerima penyertaan bekas perdana menteri itu bersama gabungan pembangkang.

“Sebenarnya otai reformis menyokong kemasukan Tun Mahathir dalam HARAPAN sebab otai bersama pimpinan dalam HARAPAN yang mana saudara (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) sendiri sokong Dr Mahathir dalam HARAPAN.

“Jadi atas dasar Anwar sebagai mentor otai reformis yang memulakan reformasi maka atas dasar itu kami menyokong Dr Mahathir dalam HARAPAN,” katanya dalam sidang media di sebuah warung di Kuala Lumpur.

Julai lalu, Saari yang juga pemimpin AMANAH meletakkan jawatan selaku pengerusi Otai Reformis.

Ia berikutan percanggahan antara partinya yang menerima penyertaan Mahathir dalam pembangkang, manakala gerakan itu menolaknya.

Abdul Razak turut meletakkan jawatan kerana membantah penyertaan Mahathir, dan akan bertanding di DUN Sri Muda atas tiket PSM pada PRU ini.

Kekosongan jawatan pengerusi Otai reformis kemudiannya diisi oleh Khairul manakala Akhi Nosa Iskandar pula dilantik sebagai setiausaha.

Gerakan reformasi ditubuhkan selepas Dr Mahathir memecat timbalannya, Anwar pada September 1998.

Mahathir menuduh Anwar tidak bermoral dan tidak sesuai untuk memimpin negara itu, manakala timbalannya itu mendakwa perdana menteri mereka satu tuduhan salah laku seks dan penyalahgunaan kuasa ke atasnya.

Berikutan pemecatannya dan pemenjaraannya, puluhan ribu penyokong Anwar turun ke jalanan dan menentang Dr Mahathir.

Susulan pembebasannya dari penjara, Anwar menubuhkan PKR dan kemudian menjadi ketua pembangkang serta ketua umum Pakatan Harapan hari ini.

Mahathir pula adalah pengerusi gabungan itu dan juga dinamakan sebagai calon perdana menteri jika pembangkang menawan Putrajaya.

Sementara itu Khairul berkata, Otai reformis dalam usaha mengumpulkan semua ahli di seluruh negara untuk terus bergerak ke hadapan.

“Kami kini ambil inisiatif otai dapat digabungkan kembali. Otai berhubung sesama sendiri tak ada masalah. Tapi apa yang perlu suatu urusan yang baik kamu nak himpunkan kembali supaya ada pengurusan dan pimpinan,” katanya.

Dalam sidang media itu juga, Khairul menyeru semua pihak untuk turun pada perhimpunan “Tangkap Jho Low, selamatkan Malaysia” Sabtu ini.

Perhimpunan itu yang dianjurkan oleh sekumpulan aktivis yang memanggil diri mereka "Anak Muda Cari Jho Low" (AMCJL) akan mengumpulkan 1,000 orang pada perhimpunan itu nanti.

Khairul berkata pihaknya telah menghantar surat jemputan kepada semua pimpinan HARAPAN untuk menyertai perhimpunan tersebut.

“Ini bukan paksaan untuk turun kerana PRU14 nak bermula, kita tak nak ada apa-apa tekanan dari pemimpin.

“Kita mahu pemimpin ini turun untuk tunjuk kerjasama dan kesetiaan mereka dalam perhimpunan ini,” katanya.

Perhimpunan akan bermula jam 2 petang pada 14 April berhampiran pusat beli-belah Sogo, di mana mereka akan berhimpun sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

AMCJL adalah satu gerakan yang terdiri daripada kumpulan belia, NGO dan parti politik di Malaysia.

Lihat Komen
ADS