Aktivis didakwa halang tugas pegawai polis
Seorang aktivis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menghalang seorang pegawai polis daripada menjalankan tugasnya di luar bangunan Parlimen, Khamis lepas.
Mikhael Iskandaar, 39, didakwa dengan sengaja menghalang Penolong Pegawai Pemerintah Ops Parlimen Supt Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa daripada menjalankan tugasnya di depan pintu pagar masuk bangunan Parlimen pada jam 10 pagi 5 April lalu.
Mohamed Rafiq juga merupakan Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul.
Mikhael didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin namun tertuduh yang diwakili peguam G. Sivamalar merayu jaminan minimum kerana anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan tidak akan melarikan diri.
"Beliau juga merupakan seorang aktivis sosial yang banyak membantu rakyat. Oleh itu, saya memohon satu jaminan yang rendah," katanya.
Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahman membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali sebulan dan 21 Mei ditetapkan untuk sebutan semula kes.
- Bernama
-

