Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syarikat Singapura beri cuti pekerja undi PRU14
Diterbitkan:  Apr 12, 2018 4:29 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

PRU14 | Ikea Singapura akan memberi cuti bergaji sehari kepada para pekerjanya pada 9 Mei 2018 ini supaya mereka boleh pulang mengundi pada pilihan raya umum akan datang ini.

"Kami mengambil tanggungjawab sosial secara serius dan kami mahu membolehkan rakan sekerja kami mengambil tanggungjawab individu mereka juga.

"Manfaat ini akan memudahkan mereka untuk menggunakan hak mengundi dalam pilihan raya Malaysia. Sesiapa yang memerlukan lebih dari satu hari boleh berbuat demikian dengan memohon cuti tahunan, "kata pengurus pekerjaan dan pampasan Ikea Southeast Asia, Aldys Kong, seperti dipetik Channel News Asia hari ini.

Ikea Singapura mempunyai kira-kira 80 orang pekerja Malaysia.

Satu lagi syarikat Singapura, pengendali bas Go-Ahead berkata "akan memudahkan aturan jadual syif bekerja" bagi kakitangannya di Malaysia, "dengan bersyarat atas keperluan memenuhi operasi kami".

"Jadual syif bekerja kami dirancang sedemikian rupa sehingga kebanyakan rakan sekerja akan mempunyai masa yang cukup untuk pulang ke rumah dan membuang undi mereka sebelum atau selepas shif bekerja.

"Jika perlu, kami akan memudahkan aturan syif yang boleh dilaksanakan," kata jurucakapnya.

Tarikh mengundi ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 9 Mei ini bersamaan hari Rabu dan telah diisytiharkan sebagai hari cuti umum Malaysia.

Ordinan Cuti Sabah dan Sarawak

Bagi Sabah dan Sarawak, Pejabat Perdana Menteri berkata kerajaan negeri akan mengumumkan cuti umum di bawah Ordinan Cuti negeri masing-masing.

Pengumuman cuti umum tersebut setelah ramai pihak mengkritik keputusan SPR menetapkan tarikh PRU14 pada hari bekerja.

Kumpulan pemantau pilihan raya BERSIH mendakwa SPR cuba mengurangkan jumlah pengundi yang keluar memilih dengan menetapkan hari membuang undi pada Rabu.

Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan-kesalahan Pilihan Raya 1954 memperuntukkan majikan untuk membenarkan para pekerjanya tempoh masa yang wajar untuk mereka keluar mengundi.

Menteri sumber manusia kerajaan sementara Datuk Seri Richard Riot Jaem turut menggesa majikan membenarkan pekerja keluar mengundi pada 9 Mei ini.

Lihat Komen
ADS