Naib Ketua Umno Petaling Jaya Selatan (PJS) Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim hari ini tampil mendakwa, dirinya menjadi mangsa berita palsu berikutan penyebaran sebuah video yang tular di media sosial.

Menurut Mutalif yang juga adalah penolong koordinator pembangunan persekutuan DUN Taman Medan, berita palsu berkenaan mendakwa beliau membayar warga asing supaya mengundi BN agar kerajaan negeri Selangor dapat ditumbangkan.

Sehubungan itu, hari ini, Mutalif bersama individu yang didakwa sebagai warga asing dalam video berkenaan, Azmi Abdul Malik membuat laporan polis.

"Kerajaan telah menubuhkan akta berita palsu dan kini saya mangsa pertama difitnah. Jadi saya merayu pada seluruh warga Malaysia, janganlah buat cerita yang tak benar.

"Kita ini rakyat Malaysia harus bersatu. Kalau tak boleh membantu, diam.

"Saya minta pembangkang yang bermulut longkang tolong jangan buat fitnah. Tak boleh tolong, sila jauhkan diri," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Semalam sebuah video yang memaparkan Mutalif ingin membayar RM3,000 kepada seorang individu, menjadi tular.

Menceritakan apa yang berlaku, Mutalif mengakui beliau memberikan wang berkenaan untuk membantu Azmi selepas bengkel lelaki itu terbakar pada Isnin lalu.

Katanya, Azmi mempunyai tiga orang anak- dua daripadanya berpenyakit - serta isterinya tidak bekerja. Beliau terpaksa menyara keluarga selepas bengkel yang diusahakannya kira-kira sembilan tahun lalu terbakar.

"Saya terkilan dan sedih bila orang kata saya nak bantu orang Bangladesh.

"Sebenarnya pada Isnin bengkel beliau (Azmi) terbakar pada pukul 8 pagi dan selepas diperiksa forensik bomba ia berpunca dari litar pintas bateri motosikal.

"Jadi saya hadir untuk membantu. Encik Azmi ada tiga orang anak, anak keduanya ada sakit kencing manis dan memerlukan insulin dan anak bongsu berusia lima bulan ada masalah jantung.

"Jadi bayangkan, Azmi perlu bekerja seorang (diri) dan isterinya suri rumah. Kedai dah terbakar dan anak sakit.

"Dia juga cakap dah sembilan tahun nak dapatkan lesen nak buka bengkel tapi majlis perbandaran tak bagi.

"Jadi saya kata, saya pembangkang, kerajaan (negeri) dari Pakatan (Harapan). Sebab itu saya kata kalau undi BN dan bagi BN memerintah (Selangor), saya boleh mudahkan dan bawa dia ke majlis perbandaran untuk dia teruskan hidup," kata Mutalif.

Sementara itu, Azmi yang hadir sama membuat laporan polis turut menunjukkan kad pengenalannya kepada pihak media bagi membuktikan dirinya bukan warga asing.

Dengan nada sebak, Azmi yang telah menetap di Taman Medan sejak 1990 itu turut merayu kepada orang ramai agar tidak 'menyusahkan' hidupnya lagi dengan insiden video berkenaan.

"Tak dapat bantu saya, jangan buntukan saya. Saya sendiri sedang bersusah payah nak majukan diri dan keluarga saya.

"Bila dibantu, diberi pula ayat-ayat menyedihkan.

"Saya harap janganlah perkara ini berulang, bantu saya, jangan buntukan saya. Setidaknya dapat kurangkan beban saya," kata Azmi sebak.