Gelombang biru BN landa Pulau Pinang
Gelombang biru BN hari ini melanda Balik Pulau, Pulau Pinang dengan ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rombongan pemimpin Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei ini.
Majlis besar-besaran Balik Pulau Bersama Perdana Menteri itu dihadiri kira-kira 10,000 penyokong BN dengan Najib mengumumkan 12 projek Kementerian Kesihatan di Pulau Pinang yang kesemuanya bernilai RM1.64 bilion.
"Saya datang ke sini bukan untuk melihat banglo baru atau terowong bawah laut yang belum dibina tetapi untuk melihat pembangunan yang dibawa oleh BN," kata Najib semasa mukadimah ucapannya, yang terus membidas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
"Memang benar, kita bagi macam-macam untuk Pulau Pinang. Dalam tempoh masa lima tahun ini, kita telah bagi RM4 bilion untuk Pulau Pinang.
“Kita tak abaikan Pulau Pinang. Kita akan teruskan projek ini dan hari ini kita lancarkan 12 projek," katanya.
Beliau berkata pelancaran projek-projek itu juga adalah bukti BN menunaikan setiap janjinya dan memberi jaminan untuk melaksanakan lebih banyak projek pembangunan di negeri ini sekiranya BN berjaya menang di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
"Hari ini saya akan terus bangunkan Balik Pulau. Hat besaq-besaq (projek yang lebih besar) ini tunggu kita menang dulu.
“Kalau hangpa nak (projek) besar bagi (BN) menang dulu Pulau Pinang ini. Hangpa kena bagi (BN) menang dulu," katanya.
Najib berkata hanya BN yang mampu memberikan masa depan lebih terjamin dan ia terbukti berdasarkan rekod cemerlang parti itu dalam mentadbir dan membangunkan negara.
Beliau turut berkata BN akan menambah intipati dalam manifestonya pada PRU14 dengan memasukkan pemansuhan bayaran tol untuk penunggang motosikal di Jambatan Pulau Pinang sekiranya berjaya merampas semula negeri itu daripada DAP.
"Kita juga sedia menambah bilangan rumah mampu milik yang dijanjikan akan dibina sekiranya berjaya merampas negeri ini.
"BN mempunyai rekod dan kemampuan melaksanakan semua janji yang dibuat, bukannya seperti kerajaan negeri yang mempunyai 51 janji yang belum ditunaikan," katanya.
Najib berkata BN adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan menjaga kesejahteraan rakyat dengan telah menunaikan 99.4 peratus daripada janji-janji dalam manifestonya lima tahun lepas.
Beliau berkata kerajaan Pulau Pinang sebaliknya gagal menunaikan 51 janji yang dibuat sepanjang tempoh 10 tahun memerintah negeri itu.
"Apa gunanya cakap tapi tak ditunaikan. Cakap memang senang. Tapi bila kita cakap, keluarkan sesuatu janji, BN tepati janji," kata beliau.
Najib turut menyelar kerajaan negeri Pulau Pinang yang didakwa meluluskan 39 projek lereng bukit sepanjang memerintah negeri itu berbanding kerajaan BN sebelum ini yang hanya meluluskan empat projek lereng bukit.

