Najib: Selamba Dr Mahathir kata tak tangkap sesiapa
PRU14 l Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus mempersendakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menafikan bahawa beliau bertanggungjawab memenjarakan pemimpin pembangkang selama 22 tahun dirinya berkuasa.
Seperti lazim, pengerusi BN itu tidak menyebut sebarang nama, tetapi merujuk kepada pengerusi Pakatan Harapan itu sebagai “orang umur 93 tahun itu”.
Najib berkata bekas perdana menteri itu harus bertanggungjawab berhubung apa yang berlaku sepanjang tempoh beliau mentadbir dan bukannya melepaskan semua kesalahan kepada pihak polis.
"Bolehkah kita nak harap pada orang umur 93 tahun. Hari ini cakap lain, esok cakap lain...
“Saya tengok dalam video baru-baru ini dia duduk di tengah, sebelah kanan Mat (Mohamad) Sabu dan kiri (Datuk Seri Dr) Wan Azizah Wan Ismail dan dia boleh cakap dia tak tangkap siapa pun," kata beliau.
Najib berkata demikian semasa berucap pada majlis Balik Pulau Bersama Perdana Menteri di Pulau Pinang, hari ini.
Katanya, rakyat perlu meletakkan harapan kepada BN jika inginkan masa depan yang terjamin dan maju, dan bukannya kepada pembangkang yang diketuai Dr Mahathir sering mengeluarkan kenyataan berbeza dan tidak bertanggungjawab.
Najib berkata kenyataan Mahathir itu tidak betul kerana realitinya bekas perdana menteri itu pernah menangkap Mat Sabu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan suami Wan Azizah, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"(Dia) selamba kata saya tak tangkap sesiapa. Takkan sampai begitu, bertanggungjawablah... jangan tipu," katanya.
Pada majlis itu, Najib turut melancarkan 22 ambulans baharu untuk fasiliti kesihatan di Pulau Pinang dan meluluskan RM10 juta untuk pembinaan jejantas di Kampung Seronok, Bayan Lepas.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.