Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRU14: Pengerusi Umno Pulau Pinang umum tak bertanding
Diterbitkan:  Apr 12, 2018 6:46 PM
Dikemaskini: 10:48 AM

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman mengesahkan beliau tidak akan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menurut beliau, hasratnya telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak dua tahun lalu.

“Saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah bersetuju dengan cadangan saya untuk meletakkan seorang calon muka baharu bertanding bagi kerusi Parlimen Nibong Tebal.

“Beliau (calon tersebut) telah saya perkenalkan serta telah berkhidmat kepada masyarakat dan menerima reaksi positif daripada kalangan penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zainal Abidin, walaupun tidak bertanding, namun beliau akan memberikan sepenuh usaha dan tumpuan untuk memimpin jentera pilihan raya Umno negeri.

Katanya, selain mengekalkan tiga kerusi Parlimen dan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada, Umno negeri juga bersedia merampas kembali dua kerusi Parlimen serta lima kerusi DUN yang pernah dimenangi sebelum ini.

“Kita (Umno) juga bersedia menggerakkan jentera bagi membantu calon-calon Barisan Nasional (BN) untuk lain-lain kerusi,” katanya.

Menurut Zainal Abidin, senarai calon Umno negeri yang akan mewakili BN telah dimuktamadkan dan akan diumumkan oleh Najib selaku Pengerusi BN dalam masa terdekat.

“Calon-calon BN Pulau Pinang terdiri daripada lima calon Parlimen serta 15 calon DUN yang diwakili Umno manakala calon-calon yang mewakili parti komponen BN seperti Gerakan, MCA dan MIC pula akan bertanding di lapan kerusi Parlimen serta 25 kerusi DUN,” katanya.

Lihat Komen
ADS