Paling Popular
Terkini

Sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh mengundi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ditetapkan Rabu, 9 Mei, pelbagai reaksi muncul dalam media sosial.

Reaksi paling ketara adalah kegusaran ramai orang mengenai isu kewangan dan logistik untuk pulang mengundi pada hari Rabu. Yang paling terkesan ialah pengundi muda yang bekerja di negeri lain dari tempat mengundi dan yang perlu pulang ke Sabah atau Sarawak dari Semenanjung dan sebaliknya.

Ada yang berkira-kira untuk membatalkan sahaja niat pulang mengundi, namun apabila niat sedemikian dizahirkan dalam media sosial, ramai rakyat Malaysia yang tampil menawarkan penyelesaian.

Di Twitter, tanda pagar #PulangMengundi mula trending hanya beberapa jam selepas tarikh pengundian PRU14 diumumkan, bertujuan untuk mendapatkan bantuan kepada mereka yang layak mengundi tetapi tidak mampu untuk pulang ke kawasan mengundi masing-masing.

Tanda pagar yang dimulakan oleh penyunting digital Joe Lee (@klubbkiddkl) itu memudahkan mereka yang memerlukan bantuan untuk menghubungi mereka yang menawarkan bantuan untuk pulang mengundi.

#PulangMengundi

Dalam tweet pertama memulakan tanda pagar itu, Joe menulis: “If you have problems taking time off to vote, or can’t afford to - please use the hashtag, and maybe someone can help.” (“Jika anda menghadapi kesesakan masa atau tidak mampu untuk pulang mengundi – gunakan tanda pagar ini. Mungkin ada yang boleh membantu).

Rakyat Malaysia di Twitter membalas tweet Joe dengan menggunakan #PulangMengundi untuk menawarkan bantuan bagi membiayai atau memberi subsidi kos pengangkutan kepada mereka yang memerlukan.

Ganesh Devaraj (@ganaeshd) menulis: “I know it's not much, but I should be able to finance up to RM300 to help people #PulangMengundi. Most probably won't be enough for flight tickets (I'm so sorry!), but it should cover some duit tol/duit tiket bas/duit petrol. Please let me know how I can help.” (Saya tahu bantuan yang ditawarkan ini tidak sebesar mana, tetapi saya mahu membelanjakan sehingga RM300 untuk membantu rakyat Malaysia #PulangMengundi. Mungkin tidak cukup untuk membiayai tiket penerbangan (saya memohon maaf!), tetapi cukuplah untuk dibuat duit tol/duit tiket bas/duit petrol. Sila maklumkan kepada saya bantuan yang diperlukan.”

Ramai yang terharu dengan sifat dermawan rakyat Malaysia yang rela membantu walaupun tidak mengenali si penerima bantuan.

Mekti (@izzatiaziz0315) menulis: “People I never met. Never spoken to. Melissa Liew Yean sponsored me to go back for voting! She even gimme extra and keep asking me to spend time with family. I don’t know you, I just know you’re kind-hearted. Proud with Malaysians!” (Walaupun saya tak pernah berjumpa atau bercakap dengannya, Melisa Liew Yean telah membiayai kos untuk saya pulang mengundi. Bukan itu sahaja, dia juga memberi sumbangan lebih agar saya dapat meluangkan sedikit masa dengan keluarga saya. Saya tidak kenal awak, tetapi saya tahu awak sangat baik hati. Saya rasa bangga dengan kemurahan hati rakyat Malaysia!”)

#CARPOOLGE14

Penerbit dan pengacara radio BFM Umapagan Ampikaipakan (@umapagan) dalam laman tweetnya menulis: “The wonderful thing about this #PulangMengundi effort - besides being spontaneous and heartening - is that no one contributing will question who you’re voting for. It’s about the process not the politics.” (Sesuatu yang mengagumkan tentang usaha #PulangMengundi ini – selain menjadi sesuatu yang spontan dan membangkitkan semangat – ialah mereka menawarkan bantuan tanpa bertanya penerima, siapa yang akan mereka undi. Niat mereka untuk memudah cara, bukan berpolitik.)

Penulis Nizam Bakeri (@nizambakeri) pula memulakan tanda pagar #CarpoolGE14 untuk memudahkan mereka yang akan ke pusat mengundi yang sama mencari rakan berkongsi kereta (carpool).

Nizam dan pengguna Twitter Syazwani (@AnnieVeeee) kemudiannya membuka akaun Twitter @CarpoolGE14 untuk membantu mereka yang berminat dengan menyediakan templat untuk mengisi maklumat yang diperlukan bagi mendapatkan kumpulan kongsi kereta yang sesuai.

Satu tweet yang disemat (pinned) di akaun itu menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan itu tanpa mengira faham politik masing-masing.

“Tak kisah undi siapa, balik mengundi,” katanya.

DROUPR

Droupr, satu aplikasi kongsi kereta yang dihasilkan anak tempatan turut mengumumkan kempen “Balik dan Undi” setelah tarikh pengundian diumumkan.

Ketua Pegawai Operasi dan Pengasas Bersama Droupr Naim Ahmad memberitahu Bernama pengguna aplikasi dapat memilih sama ada untuk menawarkan khidmat kongsi kereta ataupun mencari kereta untuk ditumpang.

“Droupr ialah platform kongsi kereta yang memudahkan pencarian rakan untuk perjalanan ke arah yang sama. Jadi sekiranya kita hendak memandu dari KL ke Perlis untuk mengundi nanti, kita boleh mencari beberapa orang lagi untuk berkongsi kereta dan ini akan menjimatkan kos minyak dan tol,” terang beliau.

Pengguna aplikasi boleh berinteraksi dengan ahli kumpulan lain sebelum perjalanan untuk membincangkan maklumat berkaitan di samping mengurangkan rasa kekok ketika dalam perjalanan kelak.

Bagi mereka yang risau tentang keselamatan, Naim berkata Droupr mengambil berat mengenai isu keselamatan. Jika pengguna berhadapan dengan situasi kecemasan, butang “distress signal” dalam aplikasi itu boleh digunakan untuk menghantar maklumat lokasi pengguna serta-merta kepada pihak yang telah dipilih awal oleh pengguna.

“Pengguna juga dapat menetapkan syarat yang dikehendaki seperti “untuk wanita sahaja”, “untuk perokok” atau “haiwan peliharaan dibernarkan”,” katanya.

Aplikasi yang dilancarkan pada 2016 itu boleh dimuat turun dari Play Store Google dan App Store Apple.

Seramai 11,257,151 orang daripada 13,268,002 yang layak mengundi pergi mengundi pada PRU ke-13 yang berlangsung Ahad, 5 Mei, 2013. Jumlah yang mengundi ketika itu mewakili 84.8 peratus.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS