Balik mengundi, AirAsia tawar tambang tetap dalam M'sia
PRU14 | AirAsia menawarkan kadar tambang tetap malam tadi untuk memudahkan pengundi dalam Malaysia balik mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
"Kerana sambutan hangat anda untuk mengundi pada PRU14, kami melancarkan kadar tambang tetap malam ini," kata AirAsia dalam catatan pada akaun Twitter rasminya malam tadi.
Bagi tempoh perjalanan antara 8 dan 9 Mei dan tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk, penerbangan di dalam Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur ditetapkan pada RM99.
Sementara itu, bagi penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak, harga tiket tetap ialah RM129 manakala RM199 bagi penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes sebelum ini berkata syarikat penerbangan itu akan membekukan tempat duduk yang belum dijual untuk hari sebelum dan selepas 9 Mei, dan menetapkan tambang rendah untuk kerusi tersebut.
Pada hari Rabu, Fernandes berkata AirAsia tidak akan dapat menyediakan penerbangan percuma tetapi telah berjanji bahawa ia akan melakukan yang terbaik untuk menurunkan harga tambang.

