Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) menurunkan kira-kira 1,000 bendera parti yang dipasang di kawasan yang tidak dibenarkan.

Tindakan itu dibuat dalam operasi yang dibuat di sekitar bandar raya itu semalam, menurut Sinar Harian.

Antara lokasi yang terlibat ialah Kuala Ibai, Chendering dan Kubang Tangga.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Samiun Salleh berkata, tindakan itu terpaksa dibuat kerana ada parti yang terlibat tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Ini katanya, dengan memasang bendera di kawasan tidak dibenarkan seperti jambatan, bulatan dan masjid.

​Menurut Samiun tindakan menggantung bendera parti di kawasan berkenaan boleh mengancam keselamatan orang awam. ​​

“Kita sebenarnya sudah mengeluarkan notis larangan pemasangan bendera parti di tempat awam, terutamanya di kawasan berisiko kepada semua pemimpin parti politik.

“Kita juga sudah panggil wakil mereka dan beri penjelasan tentang lokasi yang dilarang untuk pemasangan bendera.

“Malangnya, ada antara mereka yang tidak patuhi peraturan ini menyebabkan kita terpaksa bertindak menanggalkan bendera parti.

“Tindakan itu diambil mengikut Undang-Undang Kecil Akta Pilihanraya dan Perintah 6 (1), Undang-Undang Kecil Kerajaan Tempatan (Iklan Pilihan Raya) 1990,” beliau dipetik sebagai berkata.

Selain itu, beliau turut menjelaskan, peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan, bendera parti​ tidak boleh dipasang sehingga hari penamaan calon, iaitu 28 April depan.

“Mereka juga kena bayar wang deposit bahan kempen pilihan raya sebanyak RM5,000 untuk kawasan parlimen dan RM3,000 bagi kawasan DUN​.

“Sebelum operasi menanggalkan bendera parti ini dilakukan, kita juga sudah memanggil pemimpin parti politik dan mereka sanggup untuk menanggalkan sendiri bendera dipasang pada tiang elektrik dan di atas jambatan Kuala Ibai,” katanya ​ lagi.