AMANAH: Mohd Amar, Takiyuddin jangan lari
PRU14 | PAS kelihatan yakin benar untuk kekal mentadbir Kelantan dan bercakap mengenai potensi membentuk kerajaan di peringkat pusat.
Justeru Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan meminta beberapa pemimpin utama PAS agar tidak meninggalkan kerusi masing-masing yang akan dicabar mereka pada PRU ke-14 ini.
Dua nama yang disebut khusus oleh Pengerusi AMANAH Kelantan pada sidang media di Kota Bharu hari ini ialah Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan setiausaha agungnya Datuk Takiyuddin Hassan.
Kata Wan Abd Rahim Wan Abdullah AMANAH berharap Mohd Amar tidak berpindah daripada kawasan dewan undangan negeri Panchor, manakala Takiyuddin di parlimen Kota Bharu.
"Kami memberi peluang kepada calon muda iaitu Ketua Pemuda AMANAH Kelantan Hazmi Hassan menjadi giant killer di Panchor.
"Harap-harap YB Panchor tak lari ke tempat lain," katanya merujuk kepada Mohd Amar yang menjadi penyandang kerusi berkenaan.
Untuk rekod Nik Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan itu memenangi kerusi Panchor - yang terletak di bawah Pengkalan Chepa - selama tiga penggal.
Hal sama berlaku ke atas kerusi parlimen Kota Bharu.
Kata Wan Abd Rahim Naib Presidan AMANAH, Husam Musa, sudah menyahut cabaran PAS untuk merebut kerusi berkenaan.
"Husam sendiri menyahut cabaran setiausaha agung PAS (Takiyuddin) untuk berlawan di Kota Bharu, harap-harap dia tak lari ke tempat lain.
"Orang Kota Bharu nak tengok satu perlawanan hebat. Memang sepatutnya apabila kita cabar dan orang sahut cabaran, tak boleh kita lari," katanya.
Komposisi calon AMANAH
Bekas speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu berkata, Takiyuddin seeloknya membuat pengumuman segera untuk kekal di Kota Bharu.
Terdahulu, Husam dikatakan bersedia bertanding di parlimen itu pada PRU ke-14 nanti walaupun pengumuman rasmi mengenainya belum dibuat.
Sebagai rekod, Takiyuddin memenangi kerusi berkenaan pada PRU ke-13 dengan majoriti selesa - 15,970 undi - menewaskan calon BN, Tan Sri Mohamad Fatmi Salleh dan calon bebas, Mohd Zakiman Abu Bakar.
Kata Wan Abd Rahim AMANAH bakal mempertaruhkan calon di 23 kerusi DUN dan lima parlimen dan calon-calon dipilih mengikuti komposisi tertentu.
"Calon-calon kita terdiri daripada golongan profesional daripada pelbagai bidang antara doktor pakar, peguam, dan komposisi termasuk daripada calon muda dan wanita," jelasnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.