Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keahlian gim percuma jika saya menang, kata 'Rockstar' PSM

PRU14 | calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) di kerusi parlimen Sungai Buloh menawarkan keahlian percuma di pusat gim miliknya kepada penduduk di situ, jika menang pada pilihan raya kali ini.

Zainurizzaman Moharam, 38, adalah pemilik Rockstar Gym. Beliau turut dikenali dengan gelaran 'Zack Rockstar'.

"Berdasarkan pengalaman sebagai pemilik gim, saya akan mengadakan banyak program kesihatan percuma di Sungai Buloh.

"Jika terpilih (sebagai anggota parlimen), saya akan menawarkan gim saya secara percuma kepada penduduk dan pengundi di Sungai Buloh," katanya pada sidang media pengumuman pencalonannya di pejabat PSM Subang hari ini.

Kerusi Parlimen Subang telah ditukar menjadi Sungai Buloh selepas persempadanan semula.

Zainurizzaman bukan anggota PSM tetapi dibenarkan bertanding atas tiket parti itu.

Jurulatih kecergasan itu berkata beliau membesar di Kampung Melay Subang dan sentiasa tinggal di situ.

Menekankan faktor anak tempatan, beliau berkata ia menjadikannya lebih muda didekati dan lebih faham isu membabitkan masyarakat di situ.

"Saya tinggal di Kampung Melayu Subang. Saya ada dua anak, dan mereka juga bersekolah di Kampung Melayu Subang.

"Saya ada pejabat, juga di Subang. Saya kenal ramai orang di sini.

"Saya ada sejarah yang panjang...di Subang. Sebelum ini saya ada kanser hati, juga di Subang," katanya lagi.

Selepas pulih daripada kanser, Zainurizzaman berkata beliau banyak terlibat dalam kegiatan aktivisme di situ.

"Saya dan masyarakat Sungai Buloh adalah satu," katanya.

Wakil generasi baru

Selain keahlian gim percuma, beliau juga berjanji untuk menumpukan perhatian mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda di Sungai Buloh.

Beliau berkata, ia boleh dilakukan dengan menjamin perniagaan tempatan mengambil anak tempatan sebagai pekerja.

"Saya di sini mewakili generasi baru, suara baru untuk anak muda, terutama di Sungai Buloh.

"Matlamat kami adalah mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak muda Sungai Buloh," katanya lagi.

Beliau juga menyentuh soal keselamatan tempatan, seperti keadaan jalan raya yang teruk sehingga boleh menyebabkan kemalangan.

Walaupun berkemungkinan berdepan R Sivarasa (gambar) daripada PKR yang merupakan penyandang kerusi parlimen itu, Zainurizzaman tidak merasa gentar kerana yakin memiliki mutu yang dimahukan penduduk di sana sebagai wakil rakyat.

"Mereka mahukan wakil yang boleh bersuara di Parlimen, yang membuat kerja dan mudah didekati.

"Saya akan melakukannya dan mudah didekat. Saya sentiasa (di kawasan ini)," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS