Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Saifuddin, Nasrudin ulangi pertarungan PRU13 di Indera Mahkota
Diterbitkan:  Apr 14, 2018 5:58 AM
Dikemaskini: 10:19 PM

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Saifuddin Abdullah dinamakan sebagai calon PKR yang akan bertanding di Parlimen Indera Mahkota dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)  9 Mei ini.

Pengumuman itu dilakukan oleh Pengerusi PKR negeri, Datuk Fauzi Abdul Rahman, yang juga bekas anggota Parlimen kawasan itu dalam satu majlis Jamuan Makan Malam PRU14, di Kuantan malam tadi.

Ia sekali gus menyaksikan sejarah kembali berulang apabila Saifuddin akan menentang Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi yang telah dinamakan sebagai calon PAS yang akan bertanding di kawasan itu.

Pada PRU13 lalu, Saifuddin, bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu tewas kepada Nasrudin di Parlimen Temerloh dengan majoriti 1,070 undi..

Turut hadir di majlis itu Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Teng Chang Kim.

Dalam pada itu, Fauzi pula akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing, manakala Anggota Parlimen Kuantan selama dua penggal, Fuziah Salleh akan mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketiga.

Selain itu, PKR turut mengumumkan calon-calonnya yang akan bertanding di kerusi DUN Semambu dan Teruntum iaitu penyandang kawasan berkenaan Lee Chean Chung dan Sim Chon Siang.

Di DUN Panching pula, PKR meletakkan Kamarzaman Mohamed Yunus dan Fakhrul Anuar Zulkawi sebagai calon di DUN Inderapura.

Di majlis itu, HARAPAN turut menamakan calon daripada BERSATU, Mohd Yazid Mohd Yunus untuk bertanding di Parlimen Paya Besar yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).

- Bernama

Lihat Komen
ADS