KM: S'wak tak boleh hanya bergantung pada dana k'jaan pusat
Sarawak mungkin akan ketinggalan untuk selama-lamanya sekiranya negeri ini semata-mata bergantung pada pembiayaan kerajaan persekutuan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Kami hanya menerima peruntukan bajet tahunan daripada Putrajaya, tetapi itu tidak cukup bagi negeri besar seperti Sarawak ini dan jika kami bergantung seluruhnya pada kerajaan persekutuan, saya percaya kami tidak akan dapat mengejar pembangunan seperti yang terdapat di Semenanjung Malaysia, kami akan sentiasa ketinggalan,” katanya.
Abang Johari berkata, oleh itu, Sarawak perlu mengambil langkah bagi menambah hasilnya, di samping langkah ekonomi sedia ada.
“Maka, perkara paling logik yang perlu kami ambil ialah meningkatkan kemampuan penjanaan hasil melalui pelbagai cara yang sejajar dengan undang-undang serta perlembagaan,” kata Abang Johari semasa berucap sebelum menyaksikan upacara menandatangani perjanjian pengambilalihan saham yang dipegang Shell dalam MLNG Tiga Sdn. Bhd di Kuching semalam.
Abang Johari berkata apabila beliau mengambil alih jawatan ketua menteri lebih setahun lepas, perkara pertama yang terlintas di fikirannya ialah bagaimana Sarawak dapat mengukuhkan lagi kedudukan ekonominya dan bagaimana negeri ini boleh menjana lebih banyak hasil bagi membiayai program pembangunannya.
Katanya, untuk meningkatkan penjanaan hasil, kerajaan Sarawak menubuhkan bank pembangunan sendiri, Development Bank of Sarawak (DBOS), bagi membiayai projek ekonomi strategik yang dijangka memberi sejumlah pulangan.
Menurut beliau, cadangan pembinaan loji methanol di Bintulu adalah antara projek strategik yang akan dibiayai DBOS.
“Kami telah tubuhkan Petros, syarikat minyak dan gas Sarawak, yang akan beroperasi bersama-sama Petronas untuk meneroka dan memajukan sumber minyak dan gas kami di Sarawak.
“Kami percaya bahawa dari segi perlembagaan, kami mempunyai kuasa terhadap sumber minyak kami, yang tidak pernah kami laksanakan sebelum ini dan saya akan menguatkuasakan kuasa kawal selia ini mengikut peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan.
“Kita akan dapat menyaksikan Petros bergerak cergas dalam masa dua tahun lagi dan semoga aktiviti ini juga akan menjana sejumlah hasil bagi Sarawak dalam jangka panjang,” katanya.
Menurut Abang Johari, Petros juga akan menerajui usaha untuk menceburkan diri dalam industri hiliran minyak dan gas, serta tidak lagi semata-mata menjadi penonton.
Beliau berkata usaha untuk meluaskan asas hasil akan diteruskan mengikut kuasa yang diberi kepada negeri ini berasaskan undang-undang bertulis.
“Oktober ini, saya akan umumkan satu lagi inisiatif yang akan membolehkan Sarawak terus menjana lebih banyak hasil bagi pembangunannya,” kata beliau, sambil menjelaskan bahawa Sarawak memerlukan jumlah dana yang besar bagi membiayai projek pembangunan infrastrukturnya untuk meningkatkan ketersambungan fizikal di seluruh negeri.
Abang Johari berkata Sarawak memerlukan ketersambungan fizikal dan siber bagi mewujudkan ekosistem yang kondusif dalam usaha mendigitalkan ekonomi negeri ini pada dekad akan datang dan dekad seterusnya.
- Bernama

