Rakyat di negara ini diingatkan bahawa pembangkang giat menyebarkan propaganda palsu yang tidak berlandaskan fakta serta angka sebenar, kata Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Menurut pengarah komunikasi strategik BN itu "berita palsu" yang disebar pembangkang sebenarnya boleh menjejaskan ekonomi dan akhirnya merugikan rakyat.

Kata Abdul Rahman, antara kesan negatif daripada "propaganda pembangkang" itu ialah pelaburan asing terjejas sehingga tidak banyak pekerjaaan boleh dicipta.

"Ia seterusnya mengurangkan peluang untuk menjana pendapatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahman yang juga penyandang kerusi parlimen Kota Belud menjelaskan antara isu yang dibangkitkan pembangkang ialah BN menjual kedaulatan negara kepada China.

Katanya dakwaan itu dibuat bagi mencipta persepsi negatif kepada BN.

"Jumlah terkumpul pelaburan China (termasuk Hong Kong) di Malaysia setakat 2017 bernilai RM65.0 bilion. Ini lebih rendah berbanding jumlah terkumpul pelaburan Singapura (RM116.3 bilion) dan Jepun (RM71.6 bilion).

"Jumlah pelaburan China di Malaysia adalah yang ketiga tertinggi selepas Singapura dan Jepun," katanya.

Jika logik pembangkang mahu diterima, kata Abdul Rahman, sepatutnya kedaulatan Malaysia lebih awal terjual kepada Singapura dan Jepun sebelum China, kerana jumlah pelaburan dua negara terbabit lebih besar.

Usah gadai masa depan

Katanya jumlah pelaburan asing terkumpul di Malaysia sehingga 2017 ialah RM565 bilion dan pelaburan China hanya mewakili 11.5 peratus daripadanya.

Selain China katanya Malaysia juga menerima pelaburan dari Eropah seperti Belanda, Switzerland, Jerman, United Kingdom, Denmark serta Amerika Syarikat.

"Sebagai negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia tentu menerima pelaburan dari luar negara tetapi tidak terhad kepada China sahaja," katanya.

Menurut Abdul Rahman baru-baru ini syarikat Saudi Aramco dari Arab Saudi bersetuju melabur AS$7 bilion (RM27 bilion) untuk projek RAPID Pengerang.

Katanya beliau terlibat secara langsung dalam rundingan itu bersama-sama Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Mineral Arab Saudi, Khalid al-Falih.

Justeru kata Abdul Rahman rakyat Malaysia sepatutnya berhati-hati sebelum percaya dan menyebarkan propaganda pembangkang.

"Tidak ada sekelumit pun kedaulatan negara yang akan BN pajakkan kepada mana-mana negara asing.

"Jangan gadaikan masa depan anda dan tanah air yang kita cintai ini," katanya.