Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jutawan mohon maaf pada Najib kerana sokong pembangkang
Diterbitkan:  Apr 14, 2018 6:42 PM
Dikemaskini: 11:30 AM

Jutawan Datuk Seri Stanley Thai mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Razak kerana menyokong pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Permohanan maaf oleh pengarah urusan Supermax Corp Bhd Group itu dibuat pada satu sidang akhbar hari ini.

"Tujuan utama sidang akhbar ini adalah untuk meminta maaf kepada PM Najib dan BN atas apa yang telah saya lakukan pada PRU13, pilihan raya sebelum ini.

"Saya menyesal kerana pada pilihan raya umum ke-13, saya percaya saya telah dipengaruhi oleh pembangkang.

"Sebagai seorang ahli perniagaan saya tidak harus terlibat dalam politik dalam apa jua keadaan dan saya menyesalinya," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Ahli perniagaan itu sebelum ini membuat kejutan apabila mengumumkan sokongannya terhadap pembangkang (Pakatan Rakyat) dalam satu temu bual dengan Bloomberg.

Berikutan keputusan PRU13, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjual kepentingannya dalam Supermax.

Pada tahun 2014, Thai didakwa atas kesalahan berkongsi maklumat bukan awam berkaitan saham sebuah syarikat.

Dia dijatuhi hukuman lima tahun penjara tahun lalu dan kini sedang dalam proses membuat rayuan.

Pada sidang akhbar hari ini, hartawan itu juga berkata sebagai anggota komuniti perniagaan beliau mahu menyaksikan kestabilan politik di negara ini.

"Perniagaan-perniagaan yang beroperasi di Malaysia akan terus maju dan makmur dengan dasar-dasar ekonomi kukuh dilaksanakan kerajaan memerintah yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib.

“Pelabur-pelabur asing akan terus mempunyai keyakinan penuh untuk turut serta dan memacu pertumbuhan ekonomi dan terus meningkatkan lagi pelaburan mereka di Malaysia,” katanya dipetik Bernama.

Beliau turut menyatakan rasa kesal dengan cara kerajaan negeri Selangor menguruskan isu air kerana menyebabkan Supermax, satu daripada pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia, mengalami kerugian jutaan dollar.

“Dua projek terbaru kami telah tertangguh selama dua setengah tahun sehingga tiga tahun disebabkan isu bekalan air di Selangor, di mana kebanyakan kilang kami terletak,” katanya.

Menurutnya Supermax mempunyai sebanyak 11 kilang di seluruh negara dan lapan daripadanya terletak di Selangor.

Lihat Komen
ADS