Mat Sabu cadang sayap India Muslim dalam AMANAH
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu menerima 'standing ovation' hari ini apabila mencadangkan sayap parti untuk anggota berketurunan India Muslim.
Beliau berkata demikian pada majlis pertemuan bersama anggota masyarakat India Muslim di Subang hari ini.
"Saya bersama Khalid Samad dan pimpinan yang lain akan membawa cadangan iaitu India Muslim menyertai Amanah, mereka memerlukan sayap India Muslim di dalam Parti Amanah Negara.
"Kita akan ada sayap pemuda, sayap wanita, sayap India Muslim. Insyallah. Dan daripada golongan India Muslim ini, permintaannya itu supaya ada pimipinan peringkat tertinggi peringkat nasional mewakili golongan itu.." katanya sambil disambut tepukan gemuruh kira-kira 200 yang hadir.
Mohamad hari ini turut menerima 200 borang permohonan keahlian dari presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia Noorul Hasan Sahul Hameed.
Beliau berharap langkah memperkenalkan sayap India Muslim akan menjadikan AMANAH lebih inklusif dan bendera parti itu akan dapat dikibarkan di seluruh negara sama ada di bandar atau di kawasan pedalaman.
Mohamad atau lebih mesra disapa Mat Sabu berjanji sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) membentuk kerajaan di Putrajaya, ia akan memproses permohonan kewarganegaraan berdasarkan merit pemohon.
Mat Sabu mendakwa sesetengah India Muslim memegang status penduduk tetap meskipun telah tinggal di Malaysia selama beberapa dekad.
Beliau secara berseloroh juga mengatakan apabila ramai India Muslim dalam AMANAH, pemimpin parti itu dapat merasa nasi briyani sekali setiap sebulan selepas mengadakan mesyuaratnya.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Mohamad berkata sokongan kaum India kepada HARAPAN adalah satu gerakan baru kerana etnik itu secara tradisinya menyokong BN.
Beliau menyasarkan untuk membawa 5,000 etnik India Muslim sebagai ahli menjelang pilihan raya umum ke-14 yang ditetapkan pada 9 Mei ini.
Ditanya sama ada mana-mana ahli tersebut akan dilantik sebagai calon pilihan raya, Mohamad berkata perkara itu belum dibincangkan.
"Mereka hanya memohon sekarang jawatankuasa peringkat nasional, jawatankuasa parti," katanya.
Mengikut bancian terkini pada tahun 2010, terdapat seramai 78,702 India Muslim di Malaysia yang mewakili 4.1 peratus penduduk Malaysia dan 0.3 peratus rakyat Malaysia.
Dapat makan percuma
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad berkata masyarakat India Muslim menyatakan sokongan terhadap pembangkang sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan hasilnya beliau sering diberi makan percuma.
"Empat puluh tahun saya berada sebagai pembangkang. Selalu pihak pembangkang kena bayar, tetapi dua tahun kebelakangan ini ada kelainan.
"Saya biasa pergi satu kedai India Muslim di Kajang. Makan-makan bila nak bayar, dia kata sudah bayar. Saya singgah satu kedai Muslim India di Tanjung Malim. Makan-makan dengan kawan semua, nak bayar, dia kata sudah bayar.
"Saya singgah di Tapah. Keluar tol ada satu kedai India Muslim. Nak bayar, sudah bayar. Saya tanya kenapa. Rupanya hari ini baru saya tahu – India Muslim semua akan menyokong Pakatan Harapan," katanya.
Beliau berkata restoran India Muslim memainkan peranan penting dalam masyarakat Malaysia kerana ia berkembang maju walaupun di kawasan di mana penduduk kebanyakannya bukan Islam.

