Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BNSC sebut semula rakaman audio 'Muhyiddin'
Diterbitkan:  Apr 14, 2018 10:35 PM
Dikemaskini: 3:04 PM

Pasukan Komunikasi Strategik BN (BNSC) menyebut semula mengenai audio rakaman suara yang dikatakan dari Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa beliau tidak pernah mempersoalkan dana yang diuruskan oleh Datuk Seri Najib Razak.

Dalam audio yang dipercayai dirakam pada 5 Sept 2015, suara mirip Muhyiddin didengar berkata beliau tidak pernah mempersoalkan "dana khas" yang diuruskan oleh presiden Umno itu.

"Saya tak pernah tanya. Saya jadi timbalan presiden 2009 sampai sekarang. Tapi tak pernah soalkan dana khas ini pasal saya tahu sejak dulu pun dana ini diuruskan presiden sendiri," kata suara berkenaan.

"Dana khas" itu dipercayai merujuk kepada dana strategi Umno.

Najib pada 2013 menerima sejumlah AS$681 juta dalam akaun peribadi beliau bagi membiayai pilihan raya umum bagi Umno dan BN pada tahun itu.

Najib mendakwa AS$ 681 juta itu yang dikatakan sebagai "derma RM2.6 bilion" diperoleh daripada anggota keluarga diraja Saudi.

Menjawab surat terbuka dari bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz hari ini mengenai dana yang diterima Najib, BNSC berkata beliau harus bertanya kepada Muhyiddin mengenai apa yang dimaksudkannya dalam rakaman itu.

"Tanya juga kepada Tan Sri Muhyiddin apa yang dimaksudkannya ketika beliau berkata yang beliau sedar akan konspirasi dalaman untuk menggulingkan PM pada ketika itu dan mengapa beliau berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah mengenai dana khas presiden Umno kerana ia adalah satu amalan biasa sejak dari dulu lagi.

"Kami yakin Tan Sri Muhyiddin akan mengesahkan apa yang Rafidah ketahui, iaitu adalah amalan biasa bagi presiden Umno untuk memegang dana bagi pihak parti," kata BNSC dalam satu kenyataan hari ini.

BNSC menambah Muhyiddin mendiamkan diri mengenai rakaman itu selama lebih dua tahun.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi Muhyiddin bagi mendapatkan respon.

Tarikh rakaman audio yang dipercayai pada 5 Sept 2015 itu adalah hari ketika Umno mengadakan mesyuarat majlis tertingginya, yang mana ketika itu Najib berkata Muhyiddin tetap setia kepada parti itu walaupun dipecat sebagai timbalan perdana menteri.

Rakaman bocor berkenaan yang beredar sejak 2016, sesuai dengan tarikh 5 September 2015 kerana suara yang dikaitkan sebagai Muhyiddin merujuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai "timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri".

Muhyiddin dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada bulan Julai 2015 kerana kritikannya terhadap cara Najib mengendalikan skandal 1MDB.

Seawal bulan Ogos tahun itu, beliau mula mempersoalkan derma diterima Najib secara terbuka, dengan mengatakan perdana menteri tidak mendedahkan siapa yang memberi dana itu kepadanya.

Walaupun Najib dibersihkan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkaitan sumbangan itu, Jabatan Kehakiman AS (DOJ) mengambil tindakan berbeza.

Menurut saman sivilnya, sebanyak AS$ 681 juta didakwa disalahgunakan dari 1MDB dan dipindahkan ke akaun yang dinamakan dalam dokumen mahkamah sebagai "Malaysian Official 1" (MO1).

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang mengetuai BNSC, mengesahkan bahawa MO1 adalah Najib.

DOJ juga mendakwa bahawa AS$ 620 juta yang dikatakan sepatutnya dipulangkan oleh MO1 dimasukkan ke akaun ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Jho Low.

Lihat Komen
ADS