Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zunar dakwa penyokong BN curi, ubah suai kartun anti-Najib
Diterbitkan:  Apr 15, 2018 6:44 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

Kartunis politik Zulkiflee Anwar Ulhaque mengecam penyokong pro-BN yang menurutnya "mencuri" karya beliau untuk dijadikan bahan kempen parti itu.

Zulkiflee, yang lebih dikenali sebagai Zunar, memetik Facebook Friends of Perdana Menteri bertanggungjawab dalam perkara itu.

"Mereka memanipulasi, mengubah dan memfitnah (karya saya). Ini tahap paling rendah plagiatism.

"Pihak berkuasa perlu mendakwa mereka dengan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

"Saya juga akan membuat laporan polis dan melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)," katanya dalam kenyataan.

Zunar berkata dia juga akan berbincang dengan peguamnya bagi mempertimbangkan tindakan perundangan ke atas pemilik Facebook berkenaan.

Kartun asal karya Zunar itu menunjukkan karikatur yang dipercayai memaparkan Datuk Seri Najib Razak dan ahli keluarganya ditarik di atas kereta sorong dengan label '1MDB'.

Versi yang diubah suai yang dimuat naik akaun Facebook Friends of Perdana Menteri pula menunjukkan gambaran Tun Dr Mahathir Mohamad dan ahli keluarga berada di atas kereta sorong dengan label '22 tahun'.

Zunar sebelum ini disiasat di bawah akta hasutan kerana didakwa menghina Najib.

Selain beberapa karyanya dirampas, dia juga disekat keluar negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS