Pelajar sambut hari jadi dipukul, buat laporan polis
Seorang pelajar dalam video tular yang ‘merelakan’ diri dipukul ketika menyambut hari jadi di sebuah sekolah menengah di Shah Alam telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata pelajar tersebut membuat laporan itu di Balai Polis Seksyen 9 di Shah Alam kira-kira 8.53 malam tadi.
"Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh" katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada Februari lepas dan difahamkan pihak sekolah telah mengenal pasti kesemua pelajar terlibat serta siasatan terperinci akan dijalankan.
Video berdurasi 29 saat yang tular dalam laman sosial sejak semalam menunjukkan lapan pelajar lelaki termasuk seorang yang dipercayai pengawas, menyepak dan memukul rakan sekelas mereka menggunakan sebatang penyapu sambil menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi.
Cara sambutan hari jadi itu dikatakan menjadi tradisi segelintir pelajar sekolah berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan ketika ditemui pemberita selepas menghadiri satu majlis di Shah Alam semalam berkata pihaknya sedang menyiasat insiden berkenaan.
Katanya, kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku walau apapun alasannya sebab boleh mencetuskan kejadian tidak diingini termasuk kejadian buli serius.
"Saya dimaklumkan kementerian sedang menyiasat kes buli ini dan setelah mendapat laporan penuh, saya akan mengemukakannya," katanya.
Kamalanathan berkata, kementerian memandang berat akan hal itu dan akan berusaha menyelesaikan masalah disiplin pelajar secara total termasuk menyasarkan sifar kes buli. ,
- Bernama


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.