Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jadi calon atau tidak, kita mesti bersama BN, kata Najib
Diterbitkan:  Apr 16, 2018 11:41 AM
Dikemaskini: 3:45 AM

Datuk Seri Najib Razak menasihatkan semua penyandang kerusi Parlimen BN supaya terus wala’ dan setia terhadap parti walaupun diri mereka tidak tercalon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Beliau berkata demikian ketika pertemuan di kediamannya, di Seri Perdana, di Putrajaya yang bermula pada jam 9 pagi dan berakhir kira-kira sejam selepas itu.

"Kami sebagai keluarga BN perlu memegang prinsip wala'.

“Pertemuan tadi bersama Ahli Parlimen BN dan perjumpaan itu diadakan secara beramai-ramai," kata Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dipetik portal Berita Harian Online.

Shahidan (foto, atas, fail) adalah antara wakil rakyat BN yang hadir dalam satu pertemuan bersama semua penyandang kerusi parlimen, hari ini.

Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Tapah, Datuk M Saravanan berkata, berkata amanat yang diberikan perdana menteri ialah untuk menjaga parti BN.

"Ucapan yang diberikan sangat ringkas, meyakinkan dan menanam semangat BN tidak kira dilantik menjadi calon atau tidak, kita mesti bersama BN.

"Selain itu juga, beliau (Najib) turut meminta kami mempertahankan parti dan BN demi kebaikan negara.

"Semua yang hadir gembira sebab ia menanam sifat kekitaan dalam diri ahli BN, caranya itu (mengadakan pertemuan) sangat bagus," katanya.

Saravanan (foto, bawah, fail) juga berkata pertemuan berkenaan tidak sedikit pun berbincang mengenai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Portal Utusan Malaysia Online pula memetik penyandang kerusi Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai berkata, semua yang hadir pada pertemuan tersebut berpuas hati dengan amanat yang diberikan oleh Najib.

"Ini merupakan pendekatan baharu yang dilakukan oleh Perdana Menteri, dalam pertemuan itu beliau memberi tahu ada yang akan naik (dicalonkan) dan turun," katanya.

Penamaan calon bagi PRU14 ditetapkan pada 28 April ini manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 9 Mei depan.

Setakat ini, kebanyakan calon-calon Pakatan Harapan yang akan bertanding sudah diumumkan oleh parti-parti komponennya secara berperingkat.

Lihat Komen
ADS