Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRU14 | Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yakin mereka mampu mengembalikan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya kali ini.

Ia disebalik langkah Pakatan Harapan (HARAPAN) yang menjadikan Johor antara tumpuan utama pada PRU ke-14.

"Kita yakin dapat mengekalkan (majoriti) dua pertiga seperti dulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat dialisis di Ayer Hitam, hari ini.

Bagi kerusi parlimen pula, beliau berkata yakin BN mampu mengekalkan kemenangan di 20 daripada 26 kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU lalu, di samping menambah "beberapa kerusi" yang disandang pembangkang.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kerusi Parlimen yang disasarkan BN dan mahukan ia "menjadi kejutan" pada pilihan raya nanti.

BN bakal berdepan tentangan sengit daripada HARAPAN di Johor, yang diketuai bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin - tokoh berpengaruh di sana - dalam usaha menawan negeri yang menjadi kubu kuat BN itu.

Pada PRU ke-13, BN mendapat majoriti dua pertiga selepas menang di 38 kerusi DUN berbanding pembangkang yang mendapat 18 kerusi.

Namun tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak Datuk Sharuddin Md Salleh yang keluar Umno untuk menyertai BERSATU menyebabkan BN buat kali pertama hilang majoriti dua pertiga di negeri itu.

Lihat Komen
ADS