Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertahankan kenyataannya bahawa sumbangan yang diberikan di DUN Bukit Antarabangsa dan parlimen Gombak yang diwakilinya sudah pun dibahas dan diluluskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.

Katanya, BERSIH 2.0 tidak seharusnya mengkritik pemberian itu kerana ia diberikan setiap tahun.

Azmin berkata, gabungan NGO itu seharusnya mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menaikkan jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sekali ganda menerusi manifesto BN untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Yang membezakan kita dengan Najib ialah kita buat secara terbuka dan telus, semua kelulusan dibuat dalam sidang DUN tahun lepas. Ini semua dah dibajetkan. Ada peruntukan khas untuk masjid dan surau.

“Tapi yang Najib buat kepada pemandu teksi, siapa luluskan, parlimen tak luluskan, kabinet tak luluskan dan kenaikan BR1M belum dibawa ke parlimen, kabinet dan itu yang patut ditegur.

“Tapi macam bantuan sekolah Cina ni, kita buat setiap tahun malahan untuk 2018 kita dah bentang dalam bajet, dilulus dan diluluskan. Ada peruntukannya,” katanya.

Azmin berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra Bersama Penerima Bantuan Sekolah SJKC, SJKT, SMJK dan Mubaligh di Bangunan SUK, Shah Alam, hari ini.

Azmin dalam program di Gombak dan Bukit Antarabangsa mengagihkan peruntukan dan gajet bernilai hampir RM1 juta kepada pengundi.

Timbalan presiden PKR itu berkata ia sebahagian daripada tanggungjawab sebagai menteri besar sementara.

Susulan dari tindakan itu, sebuah portal melaporkan pemangku pengerusi BERSIH Shahrul Amam berkata, Azmin tidak sepatutnya mencontohi amalan BN yang memberi sumbangan ketika hampir dengan PRU.

Katanya, tindakan itu bukan teladan yang baik dan ia bukan budaya yang elok untuk dipupuk kepada masyarakat.

bekas pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah pula berkata, semua parti, sama ada BN atau Pakatan Harapan tidak seharusnya meninggalkan prinsip pilihan raya yang bersih dan adil bagi membawa perubahan.

Maria berkata adalah penting bagi NGO seperti BERSIH memantau penggunaan jentera kerajaan pusat dan negeri supaya sumber kerajaan tidak digunakan untuk tujuan yang menguntungkan kepentingan kerajaan sementara.

“Peranan kerajaan sementara mestilah dijelaskan. Sebagai kerajaan sementara, sama ada persekutuan atau negeri, semua kemungkinan bantahan berhubung penggunaan jawatan rasmi untuk tujuan kempen pilihan raya mestilah ditiadakan,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong berkata pihaknya kecewa dengan laporan berita yang didakwa mempunyai beberapa kesalahan serius dan andaian kurang tepat.

"Tiada tunai diberi, hanya cek; bukan iPad, hanya Samsung.

"Pertamanya, perkataan pertama pada tajuk laporan itu tidak benar. Tiada tunai diberi dalam program itu. Hanya cek yang diserahkan dan ia sesuai untuk program rasmi yang diuruskan menerusi saluran yang betul.

"Sebutan kononnya wang tunai diagihkan memberi gambaran bahawa peristiwa yang berlaku itu adalah aktiviti politik semata-mata, yang mana ia sangat tidak benar.

"Selain itu, tiada iPad diberikan kepada penerima yang layak. Gajet yang diberikan adalah tablet Samsung mampu milik," katanya dalam satu kenyataan.

Lihat Komen
ADS