Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamad Azmin Ali mengesahkan agihan kerusi Pakatan Harapan di Selangor bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) telah pun selesai.

Azmin bagaimanapun enggan mendedahkan bila pengumuman mengenainya akan dilakukan.

“Tengoklah, sebelum penamaan pun boleh (umum).

“Sebelum penamaan calon, mungkin besok mungkin lusa tapi yang penting ia telah selesai,” katanya kepada pemberita selepas program ramah mesra bersama penerima bantuan sekolah SJKC, SJKT, SMJK dan sekolah mubaligh di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, hari ini.

Azmin turut berkata berapa jumlah kerusi yang akan ditandingi PKR tidak penting sebaliknya semangat muafakat dalam HARAPAN Selangor yang perlu ditonjolkan.

Menteri besar sementara Selangor itu juga ketika ditanya akan mempertahankan kerusinya di Gombak dengan nada seloroh berkata beliau mendapat beberapa tawaran untuk bertanding di kawasan lain.

“Saya serah pada parti. Saya dapat banyak tawaran. Antaranya Pekan, Bagan Datuk. Alhamdulillah tawaran masih tinggi.

“Saya serah pada parti buat keputusan. Saya di mana pun boleh. Dicampak ke laut jadi pulau. Dicampak ke darat jadi gunung,” katanya sambil tersenyum.

Xavier tak pertahan Sg Kandis

Sementara itu dalam sidang media berasingan, Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar mengesahkan tidak akan mempertahankan DUN Sungai Kandis pada PRU14.

Sungai Kandis merupakan nama baru DUN Seri Andalas, yang dimenangi Xavier pada 2008 dan dipertahankan pada PRU13 lalu.

Xavier berkata, kerusi berkenaan akan diserahkan kepada calon Melayu yang akan mewakili PKR, memandangkan komposisi pengundi sudah berubah selepas persempadanan semula yang dilakukan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

“Memang ada sedikit teknikal tentang kerusi DUN Sungai Kandis, sebab dahulunya di DUN Seri Andalas, merupakan kerusi campuran iaitu 54 peratus pengundi bukan Melayu dan 46 peratus Melayu.

“Sebab itu saya dicalonkan di sana sebagai calon dan ada peluang menjadi adun. Sekarang ini, DUN Sungai Kandis sudah menjadi kawasan majoriti Melayu, hampir 78 peratus pengundi Melayu.

“Disebabkan banyak lebihan pengundi Melayu di sana, maka PKR putuskan akan letakkan calon berbangsa Melayu di DUN Sungai Kandis,” kataya.

Xavier turut berkata, sehingga hari ini beliau sendiri belum mengetahui kerusi manakah yang akan diletakkan kepadanya memandangkan keputusan sepenuhnya terletak pada parti.

Lihat Komen
ADS