Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi amaran kepada rakyat di negeri itu agar berhati berhati-hati dengan DAP kerana parti itu mempamerkan tingkah laku seperti penjajah.

Semasa merasmikan sebuah pusat dialisis di Ayer Hitam, Johor, hari ini, Khaled berkata keengganan DAP untuk menerajui gabungan Pakatan Harapan menimbulkan kemusykilan.

“Mereka kononnya tak minat jadi pemimpin teratas atau nombor 1. Kalau kita lihat sejarah, ini cara penjajah dulu yang datang tanah air kita.

“Mereka kata tak nak jadi pemimpin, tak mahu jadi pembesar di tanah air ini. Mereka tak minat untuk merampas kuasa atau terkuat dalam urusan pentadbiran. Mereka hanya mahu jadi penasihat.

“Mereka janji tak campur urusan orang Melayu dan agama Islam, tetapi hakikatnya apa mereka lakukan macam penasihat British dalam masa itu sangat berkuasa dan menentukan segala urusan, termasuk urusan orang Melayu dan orang Islam,” katanya.

Khaled berkata, ketika itu, ideologi penjajah kolonialis didorong dengan “mentaliti beban orang putih” untuk membantu membangunkan dunia baru.

Beliau berkata bahawa ini adalah sama dengan apa yang diperkatakan oleh DAP hari ini.

“Mereka katakan Johor ini teruk, mundur sebab masalah ekonomi, kehidupan rakyat merudum, susah...

“Semua mereka kata negatif. Tetapi kita tengok fakta-fakta ekonomi Johor adalah terbaik di Malaysia,” katanya sambil memberi contoh bahawa dalam sektor pembuatan, Johor adalah negeri terbaik di Malaysia selama lima tahun berturut-turut.

“Mereka kata kalau kita berjaya mengapa orang kita (Johor) pergi ke Singapura?

“Lima tahun lepas kita wujud 180,000 peluang pekerjaan dan kita janji lima tahun depan (lagi) kita akan wujud 250,000 pekerjaan.

“Dan betul 300,000 orang daripada Johor setiap hari menyeberangi Tambak Johor. Tetapi hanya 30 peratus adalah pekerja dari Johor. Yang lain adalah dari Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Perak,” katanya.

Menurut Khaled, hujah sedemikian memang direkayasa pembangkang dan adalah cara ala penjajah.

Katanya, para pengamal demokrasi ala penjajah itu kemudian akan melarikan diri ke kerusi atau kawasan lain selepas membuat onar.

“Perkara ini sangat jelas dan relevan kepada tuan-tuan dan puan-puan.

“Anda lihat hari ini mereka selepas bertanding di satu kws DUN mereka tak akan berkhidmat tapi hanya buat bising. Apabila rakyat lihat temberang mereka yg tidak ada khidmat bakti, mereka tidak kisah kerana mereka boleh lari ke kawasan lain dan kerusi lain.

“Jangan pula tuan puan menyambut kedatangan mereka dengan tangan terbuka kita tak nak politik macam ini,” katanya.

Khaled merujuk kepada tindakan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, yang dijadual akan dicalonkan untuk bertanding di Ayer Hitam - kerusi yang dipegang oleh Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong selama tiga penggal.

“Jadi, apa guna pemimpin buangan ini dari Kluang ke Ayer Hitam?

“Jadi saya harap kita beri perhatian kepada perkara ini dan jangan kita ambil mereka bila nanti mereka berjaya tapi mereka tak berkhidmat kepada kita.

“Ini amalan penjajah saya harap tuan-tuan dan puan-puan pengundi Ayer Hitam tak jadi mangsa demokrasi ala penjajah,” katanya.

Lihat Komen
ADS