Berita Malaysiakini

PKR: Undi Melayu di Sembrong beralih arah

Annabelle Lee  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Di sebalik tumbang di gelanggang Sembrong lima tahun lalu, PKR Johor berkeyakinan mereka mampu memberi saingan lebih baik kepada penyandang kerusi parlimen itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada kali ini berdasarkan apa yang didakwa sebagai tsunani Melayu.

Penyelaras Parlimen Sembrong PKR, Onn Abu Bakar mendakwa sentimen di kawasan itu mula beralih daripada Hishammuddin, yang juga adalah menteri pertahanan sementara, dan BN-Umno sejak pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Ini, katanya, sebahagian besar disebabkan oleh hakikat bahawa majoriti penduduk "kecewa dan tidak puas hati" dengan prestasi menteri Umno itu, terutama berkaitan isu perumahan, kesihatan dan pendidikan.

"Segala janji yang ditaburkan beliau sejak PRU13 bagi menambahbaik perumahan rakyat di kawasan Parlimen Sembrong turut mendukacitakan , mala ada di antara projek telah terbengkalai begitu sahaja sejak tahun 2001 dan 2002," kata Onn pada sidang media di pejabat Invoke di Kuala Lumpur.

Onn berkata, masyarakat Melayu, kumpulan pengundi terbesar di Sembrong, lebih terbuka kepada pembangkang berbanding sebelum ini.

"Terdapat enam penempatan di Felda di Sembrong dan lima tahun lalu sukar untuk masuk ke tempat ini (untuk mendekati pengundi). Sekarang, mudah bagi kami masuk.

"Saya percaya pengundi Melayu kini lebih bersedia menerima pembangkang, terutamanya dengan pendapatan mereka yang kekal kecil tetapi kos sara hidup tinggi dan terdapat cukai barangan dan perkhidmatan (GST)," katanya.

Sekiranya beliau dicalonkan di sana, Onn berkata beliau merancang untuk menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada pengundi dan mendapatkan peruntukan lebih baik untuk perumahan awam.

Sembrong dilihat sebagai kerusi BN yang selamat, dengan Hishammuddin memegangnya selama lima penggal, sejak kerusi itu dikenali sebagai Tenggara pada sekitar tahun 1990-an.

[Baca berita penuh]