Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan permohonan bekas anggota Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin untuk kebenaran merayu dalam saman tort misfeasans dalam jawatan awam terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif yang mengetuai panel tiga hakim juga membenarkan permohonan peguam Anina, Irzan Iswad untuk melepaskan diri daripada mewakilinya.

Irzan, yang menyebut perkara itu bagi pihak peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla juga memberitahu mahkamah bahawa kertas sebab telah dihantar kepada Anina pada 5 Mac tahun ini tetapi beliau tidak hadir di mahkamah hari ini.

Irzan berkata beliau diberitahu bahawa Anina tidak membantah terhadap permohonan untuk melepaskan diri daripada mewakilinya.

Hakim-hakim lain ialah hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Balia Yusof Wahi dan Tan Sri Aziah Ali.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Anina menyaman Najib pada 23 Mac, 2016, menuduh beliau (Najib) telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam dan bertindak melanggar tugas fidusiarinya berhubung pengurusan dana pelaburan sovereign 1MDB.

Pada 28 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Najib membatalkan saman itu, dengan memutuskan bahawa perdana menteri bukan seorang pegawai awam tetapi anggota pentadbiran.

Pada 30 Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan dikemukakan Dr Mahathir, Khairuddin dan Anina, menyebabkan mereka memfail permohonan bagi kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.

Pada 27 Feb, tahun ini, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Raus juga menolak permohonan Dr Mahathir dan Khairuddin untuk kebenaran membuat rayuan.

Raus menetapkan hari ini (16 April) bagi mendengar permohonan peguam Anina untuk melepaskan diri daripada mewakili beliau.


-Bernama

Lihat Komen
ADS