Seorang bekas penghantar barang dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah mencuri beberapa barangan milik majikannya.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhi hukuman itu terhadap Muhammad Nur Firdaus Abdul Ghani, 31, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 13 April lalu.

Lelaki itu, yang sebelum ini dipenjara enam bulan atas kesalahan mengugut, didakwa mencuri sebuah telefon pintar jenama iPhone X dan sebuah telefon Samsung J5 serta satu bungkusan mengandungi barangan kosmetik milik Citylink Express Sdn Bhd yang bernilai keseluruhan RM5,300.

Dia melakukan kesalahan itu di premis syarikat Citylink Express di Jalan PJS 11/20, Bandar Sunway, di Petaling Jaya pada 11.30 pagi, 3 April lalu mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor kesalahan lampau selain rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tertuduh melakukan kesalahan itu.

Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia menjaga ibunya serta penanggung utama keluarga.

Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan seorang penyelia di Citylink Express telah mendapat panggilan menyatakan beberapa barangan yang dipos masih belum diterima lalu pengadu membuat semakan melalui rakaman CCTV dan mendapati tertuduh telah mengambil dan membuka bungkusan-bungkusan berkenaan. -Bernama