Kerajaan perlu memberi perhatian serius kepada hasil laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) supaya menghormati hak kebebasan berhimpun secara aman yang dikeluarkan Jumaat lalu.

Naib Presiden Parti Keadilan Nasional Dr Chandra Muzaffar bersetuju dengan laporan Suhakam itu yang menyebut polis telah menafikan hak orang ramai berhimpun secara aman.

"Keselamatan negara dan ketenteraman awam adalah konsep yang kabur dan sering disalah guna (oleh polis) untuk menghalang suara pengkritik (kerajaan)," katanya.

Suruhanjaya itu telah mengeluarkan laporan setebal 32 halaman dengan mengemukakan cadangan untuk menyokong hak kebebasan berhimpun secara aman, meminda Akta Polis yang sedia ada berkaitan cara polis menangani dan menyuraikan perhimpunan, dan mempermudahkan pemberian permit untuk berhimpun.

"Tidak masuk akal untuk berhujah kononnya Suhakam tidak memahami keselamatan negara," kata Chandra lagi, mengulas kenyataan Perdana Menteri minggu lalu.

Dr Mahathir Mohamad sepatutnya meneliti dengan cermat laporan Suhakam dan saranan yang dikemukakan, tambah pemimpin Keadilan itu.

"Dalam beberapa kejadian baru-baru ini nampaknya hak kebebasan bersuara telah dicabuli," katanya lagi, merujuk tindakan polis menghalang beberapa siri ceramah parti pembangkang yang diadakan di beberapa negeri bulan lalu.

Chandra berhujah, ceramah-ceramah yang diadakan oleh gabungan parti pembangkang, sejak Keadilan ditubuhkan April 1999, tidak mengakibatkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Contoh paling tepat berhubung berlaku kekecohan dalam perhimpunan ialah apa yang berlaku dalam persidangan Pemuda MCA baru-baru ini. Sebaliknya semua perhimpunan anjuran Keadilan atau Barisan Alternatif tidak jadi kecoh seperti itu," katanya lagi.

Jumaat lalu, perwakilan-perwakilan Pemuda MCA membaling kerusi ke arah antara satu sama lain dan menimbulkan suasana kelam-kabut selepas tidak berpuas hati dengan pengerusi tetap sidang tahunan pergerakan itu.

Tegang dan kecoh

Chandra mengganggap larangan berceramah dan berhimpun bertujuan menyekat aliran maklumat parti-parti pembangkang kepada orang ramai.

Sementara ketua penerangan Keadilan Ruslan Kasim berkata, tanggapan bahawa perhimpunan dan ceramah umum mencetuskan huru-hara dan mengancam keselamatan adalah prasangka buruk polis.

"Keadilan menyokong penuh tindakan dan saranan Suhakam supaya pihak berkuasa mengubah tanggapannya itu," katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Menurutnya, kajian Suhakam sendiri membuktikan perhimpunan dan ceramah umum bertukar tegang apabila anggota polis campurtangan dan menganggu orang ramai dengan menggunakan gas pemedih mata dan pancutan air berasid.

"Keadilan bersetuju (bahawa) polis bertanggungjawab menjaga keselamatan, bukannya menimbulkan ketegangan dan mengganggu keselamatan sebagaimana yang berlaku di Malau (Kubang Pasu, Kedah) dan Sabak Bernam (Selangor)," katanya.

Menurut Ruslan, polis harus mengambil langkah-langkah lebih "harmoni" seperti sudut pidato, forum terbuka, dialog antara parti dan seminar.

Awal bulan lalu, ibu pejabat polis Bukit Aman mengeluarkan arahan kepada polis negeri dan daerah agar tidak membenarkan semua ceramah di tempat terbuka.

Beberapa pemimpin utama PAS, termasuk ahli jawatankuasa pusat Mohamad Sabu dan Timbalan Ketua Pemuda Salehuddin Ayub, ditahan beberapa jam selepas merka mengadakan ceramah masing-masing di Negeri Sembilan dan Johor baru-baru ini.