Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Liow akan terima kesan besar di Bentong kerana hentam Islam'
Diterbitkan:  Apr 16, 2018 8:28 PM
Dikemaskini: 12:41 PM

Seorang calon PAS menjangka Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai tidak akan dapat mempertahankan kerusinya di Parlimen Bentong pada pilihan raya Umum 14 (PRU14) akibat hilang sokongan Melayu Islam.

Abdul Hamid Bahatim berkata ini kerana Liow sebelum ini membuat kenyataan mengenai isu Islam terutama Rang Undang Undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) atau RUU355.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai itu berkata kenyataan berkenaan memberi kesan besar kerana bukan sahaja menghentam PAS tetapi juga menghentam Islam.

“Impak dia sangat besar, bukan setakat RUU355, tetapi banyak lagi yang bersangkut paut dengan isu Islam. Mereka (penduduk) pernah buat bantahan kepada Tiong Lai, tapi dia tak peduli.

“Dia pernah keluar kenyataan bahawa dia akan letak jawatan sebagai menteri jika Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan RUU 355 dan ia diluluskan di Dewan Rakyat.

“Isu sekarang dia bukan hentam PAS, tetapi dia hentam Islam. Besar kesannya,” katanya seperti dilapor Ismaweb.net.

Pada PRU-PRU sebelum ini Tiong Lai mengalahkan calon PKR dengan majoriti besar iaitu 10,715 undi (PRU 10), 38,648 undi (PRU11) dan 12,549 undi (PRU12).

Bagaimanapun pada PRU13 lalu, beliau mengekalkan kerusi berkenaan dengan hanya memperolehi majoriti 379 undi.

Mengulas lanjut, Abdul Hatim berkata, selama ini penyumbang utama kemenangan Liow di Bentong adalah orang Melayu.

“Kebanyakan pengundi yang dia dapat adalah daripada pengundi Melayu. Kalau harapkan undi orang Cina memang tiada harapanlah jawabnya,” katanya seperti dilapor.

Bentong mempunyai seramai 62,266 pengundi dalam pilihan raya umum lalu. Pengundi Melayu dan Cina hampir sama banyak di kawasan itu dengan masing-masing 45 dan 44 peratus.

Laman Ismaweb melaporkan komposisi kaum itu menunjukkan peluang Liow mungkin terancam susulan pendirian MCA yang tidak menyokong usaha PAS melipatgandakan hukuman Mahkamah Syariah melalui Akta 355 di Parlimen.

Lihat Komen
ADS