Berita Malaysiakini

Husam: Benarkah syarikat China diberi pelepasan GST?

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Naib Presiden AMANAH Husam Musa hari ini mempersoalkan sejauh mana kebenaran bahawa syarikat China Communications Construction Company (CCCC) diberi pelepasan daripada membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST).

CCCC merupakan kontraktor bagi projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Husam menerusi Facebook hari ini meminta penjelasan berkenaan dengan turut menyertakan dokumen yang dikatakan 'sijil pelepasan GST ke atas perolehan barangan dan perkhidmatan' bagi projek tersebut.

Dokumen itu dikeluarkan atas nama China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd.

Sijil tersebut menyatakan pelepasan itu diberikan di bawah Seksyen 56 (3) (a) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 yang membabitkan kuasa menteri kewangan untuk memberikan pelepasan berkenaan.

Seksyen 56 (3) (a) berbunyi: Menteri boleh, dalam apa-apa hal tertentu dan tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkannya patut untuk dikenakan— (a) melepaskan mana-mana orang atau golongan orang daripada pembayaran keseluruhan atau mana-mana bahagian cukai yang boleh dikenakan dan dilevi ke atas apa-apa pembekalan bercukai barang atau perkhidmatan atau apa-apa pengimportan barang atau kelas barang; atau (b) melepaskan mana-mana orang kena cukai atau golongan orang kena cukai daripada pengenaan dan pungutan cukai ke atas apa-apa pembekalan bercukai barang atau perkhidmatan.

Husam memuat naik sijil itu di Facebook petang ini dan hantaran itu mendapat lebih 800 perkongsian dalam masa enam jam.

Sijil itu disertakan bersama kepala surat CCCC yang memberitahu pembekalnya bahawa ia diberikan pelepasan GST berdasarkan surat oleh Kementerian Kewangan bertarikh 7 Feb tahun ini.

Ia menambah bahawa pelepasan GST itu berkuat kuasa pada 26 September 2016.

"Benarkah ini? Syarikat China diberikan pelepasan GST, saya minta Kementerian Kewangan menjelaskan," kata Husam dalam catatan Facebooknya.

Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia Subromaniam Tholasy, ketika dihubungi berkata jabatannya akan menjelaskan isu berkenaan esok.

"Kami akan keluarkan kenyataan rasmi esok," katanya kepada Malaysiakini.

Sumber kerajaan memberitahu Malaysiakini bahawa tidak ada apa-apa yang salah mengenai pelepasan GST memandangkan cukai itu akan menaikkan kos projek ECRL yang dilancarkan oleh Putrajaya.

Kerajaan sedang membiayai projek kira-kira RM60 bilion itu menerusi pinjaman mudah dari Bank Eksport-Import China dan hutang yang diperolehi dalam pasaran bon.

Dibina sepanjang 600km, ECRL akan menghubungkan Pelabuhan Klang dengan bandar-bandar utama di pantai timur Semenanjung Malaysia termasuk Kuantan, Kota Bharu dan Kuala Terengganu.