Berita Malaysiakini

BERSATU umum calon Perlis

Bernama  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRU14 | Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang akan bertanding lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kerusi Parlimen di Perlis pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, mengumumkan calon-calonnya hari ini.

Pengerusi BERSATU negeri yang juga ketua bahagian Arau merangkap pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Perlis, Ameir Hassan, 68, berkata beliau dicalonkan bertanding di DUN Pauh yang disandang Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Timbalan ketua bahagian Arau, Maton Din, 58, pula bertanding di DUN Tambun Tulang manakala ketua Wanita BERSATU Perlis, Baridah Che Nayan, 50, di DUN Guar Sanji, katanya pada sidang media di sini.

Bekas profesor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Datuk Dr Abdul Rahman Daud, 67, akan bertanding kerusi Parlimen Arau yang disandang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

DUN: PKR 5, AMANAH 4, DAP 1

Ketua BERSATU bahagian Padang Besar, Izizam Ibrahim, 40, pula bertanding kerusi Parlimen bahagian itu dan satu lagi kerusi Parlimen Kangar diperuntukkan kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut Ameir lagi, ketua Penerangan BERSATU bahagian Padang Besar, Lt. Kol (B) Azhar Omar, 55, bertanding DUN Mata Ayer manakala anggota Exco Pemuda bahagian Kangar, Abdul Hannaan Khairy, 25, di DUN Kayang.

Katanya parti-parti gabungan HARAPAN telah mencapai kata sepakat mengenai kerusi-kerusi yang akan ditandingi.

PKR akan bertanding di lima kerusi DUN manakala Parti Amanah Negara (AMANAH) empat kerusi DUN dan DAP satu kerusi DUN.

“Kami juga patuh kepada pucuk pimpinan parti untuk menggunakan lambang PKR sahaja pada kertas pencalonan kelak,” kata Ameir yang melahirkan keyakinannya bahawa beberapa keputusan mengejut dijangka berlaku pada PRU kali ini.

Beliau berkata semua calon HARAPAN akan diperkenalkan dalam satu majlis di pejabat PKR Perlis di Taman Sena di Kangar pada 24 April ini.

-Bernama