Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kedaulatan negara tidak akan dikompromi - Najib
Diterbitkan:  Apr 17, 2018 11:27 AM
Dikemaskini: 3:31 AM

Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan sekali-kali berkompromi dengan hal-hal yang membabitkan kedaulatan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pelbagai langkah telah diambil dalam memastikan negara dan rakyat Malaysia terus berada dalam keadaan aman serta harmoni termasuk meluluskan Akta Majlis Keselamatan Negara dan Akta Pencegahan Keganasan.

Selain itu, Najib yang juga pengerusi BN berkata Akta Antiberita Tidak Benar 2018 juga telah dikuatkuasakan bagi melindungi rakyat daripada tempias berita palsu yang semakin berleluasa.

Menjelas lanjut, beliau berkata berita palsu dan tidak benar mungkin nampak remeh tetapi sebenarnya membawa ancaman keselamatan yang besar seperti yang berlaku di beberapa negara apabila berita palsu digunakan pihak luar sebagai alat untuk campur tangan dalam proses demokrasi negara berkenaan.

“... dan yang menghairankan perkara ini disokong oleh sesetengah pemimpin pembangkang! Masa depan negara kita perlu ditentukan oleh rakyat Malaysia berasaskan fakta, bukan berita, janji atau harapan palsu semata-mata!,” katanya dalam catatan di laman blog www.najibrazak.com hari ini.

Najib turut melahirkan rasa kesal kerana usaha kerajaan sedikit sebanyak diganggu oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup membelakangkan negara dan meminta campur tangan negara asing hanya kerana tamakkan kuasa.

Menjelang pilihan raya umum ke-14 yang akan berlangsung 9 Mei ini, beliau berkata BN akan terus melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif seperti yang digariskan dalam manifesto parti itu, jika terus diberi mandat oleh rakyat.

Ia termasuk menambah pos kawalan dan sistem pemantauan di sepanjang sempadan Malaysia – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan AKSEMNET; mentransformasi pasukan elit khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) demi keamanan rakyat.

Selain itu, menyebar luas usaha menentang keganasan dan ekstremisme melalui Gerakan Kesederhanaan Global (GMM); meningkatkan pembabitan masyarakat dalam pencegahan jenayah menerusi inisiatif PDRM menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol; menubuhkan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) di bawah Kementerian Pertahanan;

Meluaskan diplomasi pertahanan serantau dengan negara-negara jiran yang berkongsi sempadan; meneruskan usaha menyebar luas idea keamanan dan kesederhanaan dalam negara dan antarabangsa menerusi penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman; serta meneruskan usaha pemodenan PDRM ke seluruh negara.

“Sesungguhnya saya yakin dan percaya, selagi mana Barisan Nasional terus menerajui kepimpinan Malaysia, dengan izin Allah, negara akan terus aman makmur dan sejahtera malah makin berjaya di masa hadapan. Bersama BN, Hebatkan Negaraku!,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS