PRU14 l Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar akan bertanding di Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) manakala presiden PKR yang juga adalah ibu beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula akan bertanding di sebuah kerusi di Lembah Klang.

Akhbar harian berbahasa Inggeris The Star, melaporkan demikian, dengan memetik Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.

"Pengumuman (rasmi) akan dibuat tidak lama lagi," katanya.

Pada Disember tahun lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa Nurul Izzah telah ditetapkan untuk menjadi calon PKR di Permatang Pauh dengan Wan Azizah bertanding di Pandan atau Bandar Tun Razak di Lembah Klang.

Beberapa sumber parti memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tidak menjangkakan bahawa Nurul Izzah akan mempertahankan kerusi Lembah Pantai berikutan pemindahan 6,598 pengundi baru dari pasukan polis ke kerusi itu sejak pilihan raya umum 2013.

Ahli Parlimen dua penggal itu mengekalkan kerusi Lembah Pantai dengan majoriti 1,847 undi dengan mengalahkan calon BN Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dari BN.

Bekas setiausaha politik Nurul Izzah, Fahmi Fadzil yang juga adalah pengarah komunikasi PKR, dijangka akan dicalonkan di Lembah Pantai.

The Star juga melaporkan Saifuddin mengesahkan bahawa beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu di Kedah.

Pada PRU13, beliau kalah kepada calon BN, Datuk Seri Abdul Aziz Sheikh Fadzir dengan 1,871 undi.

Saifuddin juga juga akan bertanding di kerusi dewan undangan negeri di Pulau Pinang.