‘SPR terlalu sibuk, enggan jumpa HARAPAN’
PRU14 l Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir mendakwa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) enggan bertemu dengan gabungan pembangkang itu bagi menjelaskan berkaitan penggunaan logo dan simbol PKR pada Pilihan Raya umum ke-14 (PRU14) ini.
Surat balas SPR kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution menyatakan bahawa suruhanjaya itu terpaksa menolak permintaan untuk mengadakan satu perjumpaan kerana mereka sibuk dengan beberapa urusan yang tidak dapat dielakkan.
“Kita perlu jumpa SPR dan bagi tahu SPR kami akan gunakan simbol PKR pada PRU14. Tapi tak ada reaksi SPR sebaliknya surat yang ditulis oleh Saifuddin Nasution dari PKR, nak dapat penjelasan berkaitan itu jawabnya tak ada masa langsung.
“Kita bagi tarikh 10 April mereka tak boleh jumpa, kononnya sibuk. Inilah cara kerajaan. SPR sepatutnya ditubuh bantu PRU lakukan cara baik, tertib dan aman.
“Tapi SPR tak suka PRU diadakan dengan cara yang baik dan untuk dapatkan penjelasan mereka tak rela berjumpa. Inilah masalah yang dihadapi,” katanya pada sidang media HARAPAN di Pejabat Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), hari ini.
Sebelum ini, Saifudin mengutus surat tersebut kepada Penasihat Undang-Undang SPR, Azizan Md Arshad bagi merangka pertemuan dan meminta penjelasan berkaitan logo dan gabungan itu serta juga ingin mengetahui kaedah undi pos pada PRU14 nanti.
Surat balas itu antara lain memaklumkan SPR tidak dapat berjumpa kerana tarikh yang tidak bersesuaian.
SPR juga kini dalam usaha memuktamadkan perkara dan isu berkaitan PRU oleh parti politik yang diuar-uarkan kepada badan itu.
Selain itu SPR juga menasihatkan HARAPAN supaya menunggu makluman balas daripada suruhanjaya itu.
Perancangan kedua
Dr Mahathir ketika disoal perancangan kedua sekiranya mereka dihalang menggunakan logo PKR pada saat oleh SPR, berkata, HARAPAN mempunyai “senjata rahsia” namun tidak dapat didedahkannya sekarang.
“Kita ada beberapa idea mengenai apa yang perlu dilakukan, tapi kita tak boleh bagitahu sebab nanti (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib Razak tahu.
"Memandangkan kepada pengalaman kita pada kerajaan ini, mungkin pada saat terakhir diisytiharkan (kita) tidak boleh pakai (logo PKR),” katanya.
Kata Dr Mahthir, SPR sebelum ini menyatakan tidak perlu mendapat kebenaran daripada suruhanjaya itu untuk calon-calon HARAPAN menggunakan simbol PKR.
“Kita pegang kepada itu tetapi janganlah SPR dan kerajaan ini pada saat terakhir di waktu kita nak menamakan calon tiba-tiba beri arahan bahawa tidak boleh pakai supaya kita tidak boleh bertanding dan BN boleh menang tanpa bertanding,” katanya.

